Cuti pertengahan penggal 1 sepatutnya berakhir esok. Tapi, terus bercuti sehinga 31 Mac 2020ni. Semuanya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID19. Aku tak terkecuali.. Berkurung dalam rumah. Sesekali keluar membeli barang keperluan.
Membantu guru, bukan satu masalah buat ku |
Dalam tak sedar, sudah 6 bulan aku mengepalai SK Pogoh ini sejak diarah bertukar pada September 2019 lalu. Prinsip aku mudah, di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung. Mana pun aku ditempatkan, di situ bakti aku curahkan.
Sejenak merenung kembali, enam bulan yang telah aku lalui, bukan sekadar mencatat kebaikan, tetapi lebih kepada peringatan tentang tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ketua. Refleksi. Bukan gila memahat KPI, lebih kepada membina arah dan hala tuju.
HALA TUJU
Kemenjadian anak - anak Bola Jaring muncul juara |
Aku datang ke sini, dalam keadaan tak pasti, samaada aku mampu atau tidak untuk memacu sekolah ini ke arah kecemerlangan. Lalu, aku tetapkan hala tuju. Mudah. Kemenjadian murid. Sekolah berkualiti. Kemenjadian daripada semua aspek. Bukan semata - mata akademik dan sukan.
Aku mahu, anak - anak Bangsa Pogoh ini versetile. Serba boleh. Belajar, bersukan, memimpin, berbicara di khalayak, membuat keputusan, mengacara, menganjur majlis, berdisiplin dan paling penting, berubah.
Dan, semua itu tak akan terjadi, dengan kuasa sakti guru besar, ataupun doa dalam sujud sehingga lekuk dahi. Semua cita - cita dan harapan tu hanya akan jadi dengan kerjasama semua guru dan AKP. Aku sedar, guru yang kompeten, yang berdedikasi, komited, akan melahirkan watak anak - anak yang aku impikan.
KEBAJIKAN
Justeru, guru dan AKP lah yang aku utamakan. Kebajikan mereka aku jaga, urusan mereka aku mudahkan, kehadiran mereka aku alu kan. Setiap dari mereka aku perlukan tanpa ada yang aku abaikan. Mereka lah yang akan menjalankan apa yang aku arahkan. Apa aku citakan. Pembinaan dan penggunaan Sites Bangsa Pogoh, salah satu sistem untuk memudahkan guru dan AKP.
LDP Pertama, bukan lakonan |
Mereka juga diajar, semua masalah boleh diselesaikan. Bersemuka, berbincang, mencari penyelesaian dan sama - sama memberi idea. Tanpa ada sempadan masa, datanglah berjumpa, datang bersemuka, luahkan segalanya. Inshaallah, aku mendengar. Ada ketikanya, aku yang memanggil. Aku yang bertanya. Ada juga yang berahsia, tak bersuara, sehingga memaksa aku yang terpaksa membuka langkah. Dan akhirnya, semua terlerai.
Aku pegang, jangan buat, apa yang aku tak suka pentadbir aku buat dulu. Oleh yang demikian, perkara ini yang paling aku jaga. Kebajikan, kebersamaan, keterlihatan, kejelekitan, dan keikhlasan adalah asas kepada pembentukan persekitaran yang harmoni.
PEMBANGUNAN FIZIKAL DAN INFRASTRUKTUR
Kebersamaan, keterlihatan, kejelekitan |
Ntah berapa.. belum sempat aku kira, fizikal yang aku cuba bangunkan. Membina Kelas Pendidikan Khas, menaik taraf Dewan Terbuka Al Falah, menaik taraf pejabat, perabot, penghawa dingin, Laman Bangsa Pogoh, Dinding Bangsa Pogoh, menaik taraf parkir, mesin fotostat dan lain - lain lagi.
Keselesaan guru dan AKP aku utamakan. Supaya selepas ini kerja mereka akan lebih optimum. Kurang rungutan dek kerana masalah - masalah yang boleh menjadi kekangan. Semuanya untuk mereka.
Satu buku panduan pengurusan yang aku rancang sebelum cuti akhir tahun, sebagai perancangan dan rujukan semua, aku hadiahkan buat semua.
PENGURUSAN YANG MEMUDAHKAN
Sistematik. Itu yang aku perlu perkasakan di sini. GPK buat kerja GPK. Guru buat kerja guru mengikut ketetapan. Tugasan aku bahagikan mengikut kekuatan, kesesuaian, dan seadilnya secara merit. Kadang - kadang nampak banyak, tetapi ringan. Nampak sedikit tetapi mencabar. Ada yang aku pilih kerana keperluan. Ada aku letak kerana kepakaran. Dan ada juga aku tugaskan kerana masa hadapan.
SETELAH ENAM BULAN
Anugerah Kepimpinan Pendidikan |
Bola jaring menepati ramalan dan menjadi johan MSSD buat pertama kali. Pertama kali sambutan maulidurrasul, memberi anugerah kepada penerima yang layak. Laman Bangsa Pogoh menjadi focal point murid - murid pada waktu rehat. Dinding Bangsa Pogoh tempat tumpuan bergambar. Berurusan di pejabat menjadi lebih selesa. Bilik - bilik GPK membuatkan guru lebih mudah berurusan.
Dinding Bangsa Pogoh |
Parkir lebih tersusun. Ruang luas dan memudahkan. Urusan keluar masuk mudah. Laporan lebih senang. Di mana - mana. Bila - bila masa. Gelak ketawa di kafetaria, dalam bilik guru, juga di bilik mesyuarat. Yang veteran seringkali menasihati yang muda. Yang menghias bilik guru. Yang merancang minggu anti dadah dan lain - lain.
Tak tahu? Bertanya. Ye. Guru besar sentiasa ada untuk membantu. Silap - silap, dia yang buatkan untuk permulaan. Kalau kau malu, kau yang ketinggalan. Kau yang rugi.
APA SELEPAS INI....
Bilik guru akan dipindahkan sebelah pejabat. Di situ sebaiknya mereka berada. Pusat sumber akan ditempatkan di belakang. Team tarian dan gamelan, akan diperkasakan. Guru akan dihargai. Murid akan diberikan pengalaman sepatutnya dalam alam mereka. Lego. Ye.. Lego. Biar mereka bermain. Menjadi kreatif dan lebih kritis.
Bila aku renung semula, selepas enam bulan. Aku sedar. Ia bukan soal selepas enam bulan. Rupa - rupanya ia hanyalah permulaan. Doakan aku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan