MUNJUNG

Terima kasih cikgu!  Peh! Ayat tu. Keramat sungguh. Seronok betul buat orang rasa gembira ni. Nampak ceria murid-murid dapat juadah dari cikgu-cikgu buat berbuka nanti.



“Alhamdulillah Bos. Dah sudah. Jauh hari ni kami sampaikan juadah. Saya kira tadi dalam 28km jaraknya. Pergi saja tu.” Cikgu Ruzaini bersama Cikgu Yuafendi, kumpulan terakhir untuk program munjung kali ini sampai di sekolah.

 

“Hahaha, tak apa Jai. Sebab tu aku tugaskan 2 buah rumah saja. Tapi jauhlah.” Aku separuh ketawa semasa aku beri rasional kepada Cikgu Ruzaini.

 

Selesai program SK Labis nak munjung 2025. Budak tahap 2 untunglah, dah 4 tahun merasa. Anak-anak tahun 1, prasekolah tak tahu lagi. Kesian terpinga-pinga.

 

Macam biasa semua dapat. Resam kanak-kanak, seronok dan gembira bila dapat pemberian orang. Tak kira juadah apa. Terima saja. Tak kira juga kau miskin, kaya, berada, duduk bandar, terpencil, inshaalah semua merasa.

 

“Bos, tanya sikit. Munjung tu apa?”

 

“Oh. Haha. Munjung tu tradisi orang jawa kat Johor ni. Beri juadah atau buah tangan kepada saudara mara, jiran, atau sahabat. Ni ha, satu lagi, pada orang-orang yang kita hormatlah. Kalau kat kampung tu macam orang-orang tua, ketua kampung, cikgu ke, bidan ke, imam ke atau siapa je yang berpengaruh.”

 

Panjang aku jawab soalan Cikgu Dini. Bulan Mac 2024 masa tu. Maklumlah, baru 2 minggu lapor diri. Pulak tu dari Pahang. Mana budak tu tahu tentang tradisi masyarakat jawa Johor ni.

 

Biasanya dalam budaya lama masyarakat jawa di Johor ni, kita masak lebih di rumah. Susun dalam talam, dulang atau bekas. Hantar ke rumah orang lain. Jangan silap, bukan sebab mereka susah, tak ada makanan, tetapi sebagai tanda ingatan, kasih sayang dan mengeratkan silaturahim. Biasanya, dah dekat-dekat hari raya.

 

“Tapi di SK Labis ni dah 4 tahun saya buat, termasuk tahun ni. Kalau tak buat, ibu bapa marah. Kat sini memang macam tu. Tapi tu lah, ibu bapalah yang sumbang. Dia nak kita buat program ni, dia beri sumbangan.”

 

Cikgu Dini mengangguk-anggukkan kepala tanda faham. Tahun 2022 dulu kita agihkan kuih. Kemudian tahun lepas tu, kita tambah baik, nasi ambeng pula. Tahun lepas nasi beriani dan lontong.

 

“Jadi nasi dengan ayam masak kicap untuk tahun ni semua, kita tak keluar modallah? Ye Bos.” Bulat mata Cikgu Dini seolah-olah tak percaya. Nasi ayam kicap untuk 290 murid! Setiap murid dapat. Itu baru murid, belum cikgu, AKP, pekerja dan AJK PIBG!

 

Aku ingat lagi mula-mula aku nak buat program ni dulu. Semua hairan. Semua pelik. Mana gaya kita nak buat? Bukan cikgu je pelik, ibu bapa pun tak faham macam mana kita nak laksanakan. Geng-geng AJK PIBG pun ‘surrender’. Dia kata, dia ikut je.

“Bos. Macam mana sebenarnya kita nak buat benda ni?” Tanya Cikgu Siti Hai pada satu hari.

 

“Saya ingat nak tunggu meeting tengah hari ni.”

 

“Tak boleh bos, saya nak kena tahu serba sedikit. Nak bawa bual-bual dengan cecikgu ni.”

 

Cikgu Siti Hairani ni macam ni lah. Dia orang yang komited pada sekolah. Berdedikasi pada anak-anak murid. Dia rasa dia perlu tahu dan susun gerak kerja yang perlu. Aku pulak, oleh kerana nak bawa budaya baru di sekolah baru, kena micro manage sikitlah. Supaya orang boleh ikut cara aku lepas ni.

 

“Gini kak. Perasan tak, nak raya ni orang suka bagi bantuan pada anak yatim, pada fakir miskin, golongan B40. Tak pa lah, tu rezeki anak-anak kita ni. Saya ingat, saya nak beri setiap murid juadah hari raya.”

 

“Ish. Tinggi bos kosnya. Mana kita nak cari peruntukan?”

 

“Sebab itu kita kena meeting. Kita pakat cari dan minta sumbangan. Daripada Ibu bapa. Masyarakat sekitar. Tapi semua kena main perananlah. Baik cikgu, AKP, PIBG, semua kena cari.” Terangku lembut.

 

“Kita nak bagi juadah apa bos?” Tanya Cikgu Mala dalam mesyuarat hari profesional tengah hari itu.

 

“Baik, terima kasih Cikgu Mala. Untuk permulaan ini, saya rasa elok kita bagi yang simple je dulu. Kita bagi kuih. Ada separuh yang kita akan buat. Kita guna masa kokurikulum, ikut unit beruniform. Lebihnya kita minta sumbangan”

 

“Boleh ke budak-budak tu buat kuih? Sempat ke?” Cikgu Fuad sedikit bimbang. Nampak.

 

“Boleh, inshaallah. Kita buat kuih yang senang. Saya cadangkan cornflake madu tu. Senang je tu.”

 

Kita kumpulkan maklumat alamat murid-murid kemuadian kita pecahkan ikut kawasan. Kita buat 15 kumpulan, termasuk pekerja dan AJK PIBG. Hari Sabtu, kita pun bergerak dan hantar.

 


Semua murid dapat. Ikut kepala. Kalau dalam satu rumah ada tiga orang murid, maka tiga juadahlah yang kita tinggalkan. Tak kira miskin atau kaya. Murid-murid berhak untuk berasa gembira. Sekolah ingat pada mereka.

 

“Tapi, ada juga yang tiada di rumah. Mereka balik kampung atau di luar kawasan. Kalau macam tu, kita call mereka Dini. Kau kena pergi dengan sapa?”

 

“Saya satu kumpulan dengan Cikgu Lisa Bos. Best kan dapat tengok rumah murid-murid. Tak sabar nak pergi Sabtu ni.”

 

Memang seronok aktiviti ni. Dia menjadikan kita, cikgu lebih dekat dengan murid. Tengok rumah mereka. Dapat tahu kehidupan mereka. Tapi paling best, bila Nampak wajah mereka bercahaya bila dapat juadah.

“Lepas kita buat program tahun 2022 tu dulu, baru ibu bapa Nampak, apa yang kita cuba buat. Program ni jadi buah mulut dia orang. Jadi cerita. Kat kedai, kat warong, kat pasar dan lain-lain tempat, diaorang asyik bercerita.”

 

“Setiap aktivit pulak kita paparkan di media social. Mak ayah ni nampaklah anak dia dapat. Tahun-tahun berikutnya termasuk tahun ni, kita keluar modal stiker je. Yang lain semua sumbangan. Ha, tu lah kesan dia.”

 

Melopong Cikgu Dini dengar. Agaknya kagum dengan ibu bapa di sini. Tak pastilah, mungkin kagum dengan cara sekolah berkomunikasi dengan masyarakat.

            “Kenapa Dini? Diam aje? Tak percaya ke?” Tanya Cikgu Amal yang baru saja menjengah ke bilik guru. Dia Ketawa kecil melihat gelagat Cikgu Dini yang melopong.

 

“Tapi Dini, benda pertama yang awak rasa takjub nanti bila anak-anak ni tunggu kedatangan awak. Huih, rasa masa tu bangga betul. Awak dapat rasa keseronokkan budak-budak tu. Saya dah tiga kali. Masuk yang keempat tahun ni. Rasa tu tak boleh beli.” Tambah Cikgu Amal.

           

            Juadah ni semua habis. Baik nasi ayam kicap, lontong, nasi beriani atau apa-apa sajalah. Kalau tinggal pun basi. Yang tinggal tu rasa. Rasa bahawa ada cikgu pernah datang ketuk pintu, beri salam bawa sikit rezeki. Banyak ingatan.

 

            Munjung tu bukan sekadar beri juadah. Munjung tu cara sekolah, SK Labis nak bagitahu, “awak masih dalam ingatan kami.

Post lain