MUNJUNG

Terima kasih cikgu!  Peh! Ayat tu. Keramat sungguh. Seronok betul buat orang rasa gembira ni. Nampak ceria murid-murid dapat juadah dari cikgu-cikgu buat berbuka nanti.



“Alhamdulillah Bos. Dah sudah. Jauh hari ni kami sampaikan juadah. Saya kira tadi dalam 28km jaraknya. Pergi saja tu.” Cikgu Ruzaini bersama Cikgu Yuafendi, kumpulan terakhir untuk program munjung kali ini sampai di sekolah.

 

“Hahaha, tak apa Jai. Sebab tu aku tugaskan 2 buah rumah saja. Tapi jauhlah.” Aku separuh ketawa semasa aku beri rasional kepada Cikgu Ruzaini.

 

Selesai program SK Labis nak munjung 2025. Budak tahap 2 untunglah, dah 4 tahun merasa. Anak-anak tahun 1, prasekolah tak tahu lagi. Kesian terpinga-pinga.

 

Macam biasa semua dapat. Resam kanak-kanak, seronok dan gembira bila dapat pemberian orang. Tak kira juadah apa. Terima saja. Tak kira juga kau miskin, kaya, berada, duduk bandar, terpencil, inshaalah semua merasa.

 

“Bos, tanya sikit. Munjung tu apa?”

 

“Oh. Haha. Munjung tu tradisi orang jawa kat Johor ni. Beri juadah atau buah tangan kepada saudara mara, jiran, atau sahabat. Ni ha, satu lagi, pada orang-orang yang kita hormatlah. Kalau kat kampung tu macam orang-orang tua, ketua kampung, cikgu ke, bidan ke, imam ke atau siapa je yang berpengaruh.”

 

Panjang aku jawab soalan Cikgu Dini. Bulan Mac 2024 masa tu. Maklumlah, baru 2 minggu lapor diri. Pulak tu dari Pahang. Mana budak tu tahu tentang tradisi masyarakat jawa Johor ni.

 

Biasanya dalam budaya lama masyarakat jawa di Johor ni, kita masak lebih di rumah. Susun dalam talam, dulang atau bekas. Hantar ke rumah orang lain. Jangan silap, bukan sebab mereka susah, tak ada makanan, tetapi sebagai tanda ingatan, kasih sayang dan mengeratkan silaturahim. Biasanya, dah dekat-dekat hari raya.

 

“Tapi di SK Labis ni dah 4 tahun saya buat, termasuk tahun ni. Kalau tak buat, ibu bapa marah. Kat sini memang macam tu. Tapi tu lah, ibu bapalah yang sumbang. Dia nak kita buat program ni, dia beri sumbangan.”

 

Cikgu Dini mengangguk-anggukkan kepala tanda faham. Tahun 2022 dulu kita agihkan kuih. Kemudian tahun lepas tu, kita tambah baik, nasi ambeng pula. Tahun lepas nasi beriani dan lontong.

 

“Jadi nasi dengan ayam masak kicap untuk tahun ni semua, kita tak keluar modallah? Ye Bos.” Bulat mata Cikgu Dini seolah-olah tak percaya. Nasi ayam kicap untuk 290 murid! Setiap murid dapat. Itu baru murid, belum cikgu, AKP, pekerja dan AJK PIBG!

 

Aku ingat lagi mula-mula aku nak buat program ni dulu. Semua hairan. Semua pelik. Mana gaya kita nak buat? Bukan cikgu je pelik, ibu bapa pun tak faham macam mana kita nak laksanakan. Geng-geng AJK PIBG pun ‘surrender’. Dia kata, dia ikut je.

“Bos. Macam mana sebenarnya kita nak buat benda ni?” Tanya Cikgu Siti Hai pada satu hari.

 

“Saya ingat nak tunggu meeting tengah hari ni.”

 

“Tak boleh bos, saya nak kena tahu serba sedikit. Nak bawa bual-bual dengan cecikgu ni.”

 

Cikgu Siti Hairani ni macam ni lah. Dia orang yang komited pada sekolah. Berdedikasi pada anak-anak murid. Dia rasa dia perlu tahu dan susun gerak kerja yang perlu. Aku pulak, oleh kerana nak bawa budaya baru di sekolah baru, kena micro manage sikitlah. Supaya orang boleh ikut cara aku lepas ni.

 

“Gini kak. Perasan tak, nak raya ni orang suka bagi bantuan pada anak yatim, pada fakir miskin, golongan B40. Tak pa lah, tu rezeki anak-anak kita ni. Saya ingat, saya nak beri setiap murid juadah hari raya.”

 

“Ish. Tinggi bos kosnya. Mana kita nak cari peruntukan?”

 

“Sebab itu kita kena meeting. Kita pakat cari dan minta sumbangan. Daripada Ibu bapa. Masyarakat sekitar. Tapi semua kena main perananlah. Baik cikgu, AKP, PIBG, semua kena cari.” Terangku lembut.

 

“Kita nak bagi juadah apa bos?” Tanya Cikgu Mala dalam mesyuarat hari profesional tengah hari itu.

 

“Baik, terima kasih Cikgu Mala. Untuk permulaan ini, saya rasa elok kita bagi yang simple je dulu. Kita bagi kuih. Ada separuh yang kita akan buat. Kita guna masa kokurikulum, ikut unit beruniform. Lebihnya kita minta sumbangan”

 

“Boleh ke budak-budak tu buat kuih? Sempat ke?” Cikgu Fuad sedikit bimbang. Nampak.

 

“Boleh, inshaallah. Kita buat kuih yang senang. Saya cadangkan cornflake madu tu. Senang je tu.”

 

Kita kumpulkan maklumat alamat murid-murid kemuadian kita pecahkan ikut kawasan. Kita buat 15 kumpulan, termasuk pekerja dan AJK PIBG. Hari Sabtu, kita pun bergerak dan hantar.

 


Semua murid dapat. Ikut kepala. Kalau dalam satu rumah ada tiga orang murid, maka tiga juadahlah yang kita tinggalkan. Tak kira miskin atau kaya. Murid-murid berhak untuk berasa gembira. Sekolah ingat pada mereka.

 

“Tapi, ada juga yang tiada di rumah. Mereka balik kampung atau di luar kawasan. Kalau macam tu, kita call mereka Dini. Kau kena pergi dengan sapa?”

 

“Saya satu kumpulan dengan Cikgu Lisa Bos. Best kan dapat tengok rumah murid-murid. Tak sabar nak pergi Sabtu ni.”

 

Memang seronok aktiviti ni. Dia menjadikan kita, cikgu lebih dekat dengan murid. Tengok rumah mereka. Dapat tahu kehidupan mereka. Tapi paling best, bila Nampak wajah mereka bercahaya bila dapat juadah.

“Lepas kita buat program tahun 2022 tu dulu, baru ibu bapa Nampak, apa yang kita cuba buat. Program ni jadi buah mulut dia orang. Jadi cerita. Kat kedai, kat warong, kat pasar dan lain-lain tempat, diaorang asyik bercerita.”

 

“Setiap aktivit pulak kita paparkan di media social. Mak ayah ni nampaklah anak dia dapat. Tahun-tahun berikutnya termasuk tahun ni, kita keluar modal stiker je. Yang lain semua sumbangan. Ha, tu lah kesan dia.”

 

Melopong Cikgu Dini dengar. Agaknya kagum dengan ibu bapa di sini. Tak pastilah, mungkin kagum dengan cara sekolah berkomunikasi dengan masyarakat.

            “Kenapa Dini? Diam aje? Tak percaya ke?” Tanya Cikgu Amal yang baru saja menjengah ke bilik guru. Dia Ketawa kecil melihat gelagat Cikgu Dini yang melopong.

 

“Tapi Dini, benda pertama yang awak rasa takjub nanti bila anak-anak ni tunggu kedatangan awak. Huih, rasa masa tu bangga betul. Awak dapat rasa keseronokkan budak-budak tu. Saya dah tiga kali. Masuk yang keempat tahun ni. Rasa tu tak boleh beli.” Tambah Cikgu Amal.

           

            Juadah ni semua habis. Baik nasi ayam kicap, lontong, nasi beriani atau apa-apa sajalah. Kalau tinggal pun basi. Yang tinggal tu rasa. Rasa bahawa ada cikgu pernah datang ketuk pintu, beri salam bawa sikit rezeki. Banyak ingatan.

 

            Munjung tu bukan sekadar beri juadah. Munjung tu cara sekolah, SK Labis nak bagitahu, “awak masih dalam ingatan kami.

BEST TAK JADI GURU BESAR

Sembang-sembang dengan member. Dia tengah kursus nak jadi guru besar. Aku selalu share dengan dia. Aku share apa patut buat. Begitu begini. Supaya nanti dia jadi guru besar yang atas landasan. Aku tak kata aku bagus. Tapi aku rasa aku tau macam mana nak jadi guru besar, ketua yang elok. 

Masa posting dulu, aku ingat, ketua tu orang yang paling vokal beri arahan. Paling banyak cakap apa dia nak. Yang orang semua kena dengar cakap dia. Kena takut. Paling penting, sampai kau kena fikirkan meja makan dia mesti dihias. Banner mesti ada muka dia.

Bila dah duduk situ, rupanya ketua ialah orang yang paling banyak tanggung. Sama ada baik atau buruk. Berjaya atau tak, kau kan ketua sekolah. Kepala. Kaulah kena tanggung. Apsal cikgu kau pulak? Itulah doktrin yang aku pegang.

Aku ketua. Aku kena bertanggungjawab. Ramai je orang nak autoriti. Tak ramai yang nak akauntabiliti.

Kalau program berjaya, ramai yang diraikan. Kalau program gagal, kau jawab. Kalau staf cemerlang, mereka dipuji. Kalau staf bermasalah, kau jawab. Ingat, bukan kau suruh, kau arah semata-mata. Kau kena meneraju, Kau kena dorong, kau kena bimbing.

Itulah harga sebuah kerusi. Haaaa.. Huhu.. Ayat, sastera sungguh.

Orang nampak kuasa je. Dia tak rasa tu beban. Alaaaa, kerja kau sign. Itu yang orang sangka. Tapi orang tak nampak malam-malam yang kau duk fikir keputusan yang perlu dibuat. Orang tak nampak kau jawab whats app tengah malam, awal pagi.

Jadi ketua ni, terpaksa jadi orang yang paling tak disukai. Bukan apa, supaya organisasi tak rosak untuk jangka masa panjang. Dahlah 'circle' kau makin kecil, ramai pula orang jauhkan diri. Orang takut nak dekat. Aku boleh je minum dengan staf aku, tapi dah taklah nak jadi kengkawan. Aku tak kisah, diaorang lah yang 'suspicious'..

Kadang-kadang ketua terpaksa memarahi orang yang dia sayang. Ada masa, ketua terpaksa tolak permintaan orang yang dia hormati. Selalu je ketua terpaksa berdiam walaupun dia tahu je siapa buat cerita. Bawa cerita. Jaja cerita. Report sana sini.

Tak melawan tu bukan takut. Bukan lemah. Malas sebenarnya nak ikut emosi. Dah berusia. Aku percaya, bila kau buat yang betul, lambat laun semua benda tu, orang tau. Allah ada. Tak semua perang kita kena menang.

Dah 10 tahun jadi ketua sekolah. Aku sedar bahawa ketua bukanlah orang yang berada dekat depan sekali. Kita kena duduk paling belakang sekali bila semuanya selesai. Kita kena pastikan semua orang selamat pulang sebelum kita balik.

Ada je aku tengok ketua tu macam raja. Datang paling lambat. Arah sana sini. Tanya itu ini. Ubah macam-macam hari majlis, lepas tu balik paling awal. Dahlah kau tak ambik tau. Orang dah buat kau sibuk kacau. Lepas tu kau biar semua. Macam rajakan?


Aku tak naklah jadi gitu, macam tak sedar diri pulak. Lagilah orang tak suka. Bila rasa dah tua ni, aku sedar, jawatan itu sebenarnya pinjaman. Kerusi empuk itu juga pinjaman. Akhirnya, ia bukanl tentang berapa lama kita duduk. Tetapi berapa ramai manusia yang menjadi lebih baik kerana pernah bekerja bersama kita.

Aku pernah buat puisi tentang ni. Dah terbit dalam Tarian Tinta 2, terbitan AID Conferences, 2022 dulu. Tajuk dia Sketsa Hujan.



SKETSA HUJAN
 
Bilah-bilah air hujan kali ini
berdialog tentang bingkai kehidupan.
 
Kala titisnya terjun ke bumi
tanah seraya bertanya;
“bukankah kau yang merajai langit?
Yang gagah dan megah menutup cerah?”
 
Rupa-rupanya
di atas sana bukanlah satu destinasi
bukanlah abadi.
 
Selang ketika
cerah itu kembali.

Hishhh.. Belum habis lagi. Kau kena tahu juga, harga yang keluarga kau kena bayar. Semua nampak kau penat kat sekolah. Balik petang. Orang tak nampak yang isteri kau ada sikit je masa dengan kau. Anak-anak kau. Hujung minggu tak da masa. Cuti pun jangan cerita, kompem tak da.

Sekarang ni aku dah nampak apa aku pernah buat. Ye lah, aku bukan malaikat. Aku tak sempurna. Pernah je marah orang depan orang ramai. Aku ingat semua benda kena ikut aku. Pernah gak mikir aku je yang betul. Sebenarnya, orang diam bukan aku betul, tapi diaorang penat nak cakap.

Masa muda, aku fikir ketua tu orang paling kuat. Hebat. Best jadi ketua. Sekarang aku sedar, kita paling banyak memikul. Aku tak mintak banyak, tak harap pun orang ingat jawatan aku. Aku cuma harap dia orang ingat, aku pernah ada, masa dia orang perlu seseorang.

So, kau rasa, best ke jadi ketua? Jadi guru besar?















Ketandusan Pemimpin Pelapis Berwibawa Di Sekolah Rendah?

Penafian : Artikel ini tidak bersandar kepada mana-mana data. Artikel ini bukan kajian ilmiah. Ia adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pengalaman, perkongsian bersama rakan-rakan dalam banyak daerah dan negeri. Diharapkan, akan ada kajian ilmiah yang boleh dilaksanakan untuk meninjau sejauh mana kebenarannya. Artikel ini ditulis kerana pada pandangan penulis terdapat segelintir pemimpin pelapis yang tidak berfungsi seperti sepatutnya.


PENGENALAN

Masihkah kita ingat satu ketika, tular dalam dunia pendidikan apabila sekumpulan guru menaikkan gegantung meminta pengetua ditukarkan di sebuah sekolah di Pantai Timur? Kemudian terjadi sekali lagi kepada seorang Guru Penolong Kanan Kokurikulum sebuah sekolah rendah dan Pengetua di sebuah sekolah di Lembah Klang.

Ia terjadi akibat ketidakpuasan hati segelintir guru terhadap barisan pentadbir yang akhirnya membawa akibat memalukan terhadap institusi pendidikan rendah dan menengah. Siapa sebenarnya yang bersalah dalam hal ini? Guru-guru dan warga sekolah atau barisan pentadbirnya?

Saya tiada jawapannya, kerana saya bukanlah hakim yang mengadili sebuah perbicaraan. Namun, dalam penulisan kali ini, saya akan menulis berdasarkan pandangan dan pengalaman saya sebagai ketua jabatan Saya terpanggil untuk berkongsi beberapa pandangan hasil perbincangan tidak rasmi, perbualan, perkongsian dan juga pemerhatian.

Adakah kita sebenarnya ketandusan pemimpin pelapis berwibawa di sekolah rendah? Tajuk ini sangat sesuai untuk saya kupas berdasarkan kedudukan saya sekarang. Jika benar kita ketandusan, apakah buktinya?

Seperti yang saya katakan tadi, saya tiada data dan tiada sebarang kajian ilmiah untuk diketengahkan. Jadi, saya cuma menggariskan tiga aspek penting yang boleh menyumbang kepada berlakunya keadaan itu. Jika kita tidak ketandusan sekalipun, ini adalah senario yang sebenarnya ada berlaku dalam kalangan pemimpin pelapis di sekolah rendah.

Saya mengenal pasti tiga aspek utama tentang ketandusan pemimpin pelapis yang berwibawa dengan senario yang berbeza-beza seperti berikut;

    1.    Calon pemimpin pelapis

    2.    Peranan pentadbir

    3.    Kaedah pemilihan


1. CALON PEMIMPIN PELAPIS

 

1.1     Calon berkelayakan yang tidak berminat

       Ada ramai sebenarnya guru-guru yang berkelayakan untuk menjadi pemimpin. Mereka ini secara tidak langsung telah membantu mengurus dan mentadbir sekolah mengikut bidang masing-masing. Ramai ahli pasukan pemimpin pertengahan di sekolah telah mempunyai kemahiran dan seni mentadbir, tetapi mereka tidak berminat untuk menjadi pemimpin pelapis sekolah.

Lihat sahaja rakan-rakan guru penolong kanan lantikan sekolah di sekolah kurang murid (SKM). Ramai antara mereka yang sangat berkebolehan. Mengajar dengan waktu yang banyak dan mengurus bidang masing-masing. Tugas dan tanggungjawab yang sama. Tetapi, tetap tidak berminat untuk memohon.

Mengapa perkara ini berlaku? Sebahagian besar guru ini telah sangat selesa dengan apa yang mereka lakukan di sekolah. Ada yang mendapat sokongan kuat pentadbir dan juga pemegang taruh sekolah. Ada yang seronok bekerja sehingga tidak mahu mengambil risiko berpindah.

Ada juga yang telah terlalu berusia sehingga malas untuk memikirkan tanggungjawab baru. Selain itu, ada juga yang takut untuk memimpin disamping kurang keyakinan berbuat demikian. Tidak kurang juga yang memberikan alasan peribadi seperti pengurusan anak dan keluarga dan sebagainya.


1.2    Calon yang berminat tidak berkelayakan

       Ada juga yang tidak berkelayakan, tetapi sangat inginkan jawatan sebagai pemimpin pelapis. Ada yang memohon menjadi guru penolong kanan, semata-mata masa mengajar sebagai GPK adalah sedikit. Ada juga yang memohon kerana tidak mahu terlibat dalam kerja-kerja sebagai guru yang terlibat aktif dengan PDPC murid dan panitia.

Selain itu, mereka yang memohon dan menawarkan diri sebagai GPK ada antaranya kerana mahukan kuasa dan pangkat. Tiada motivasi dalam kerja sebagai seorang guru yang membimbing murid. Pandai bercakap tetapi kurang mahir membuat kerja. Mereka sangka kerja sebagai GPK hanyalah mengarah dan mengatur.

Akhirnya, semua arahan daripada guru besar, diarahkan pula kepada guru. Arahan-arahan daripada PPD/JPN/KPM hanyalah dipanjangkan kepada guru-guru atau setiausaha masing-masing. Jangan sebut tentang bimbingan dan pementoran, ada masanya arahan-arahan itu disampaikan bulat-bulat kepada orang bawahannya.


1.3   Persepsi negatif terhadap jawatan pemimpin

        Ramai guru menganggap bahawa pentadbir dan barisan kepimpinan sekolah itu satu bebanan. Persepsi mereka terhadap barisan kepimpinan sangat teruk. Mereka beranggapan, pentadbir hanya memberi arahan, mencari kesalahan, dan tidak bertindak adil.

Di media sosial, sentiasa kita lihat luahan guru-guru terhadap pentadbir sekolah. Akhirnya, guru-guru yang membaca luahan tersebut turut berfikiran sama. Ini menyebabkan mereka memberikan satu persepsi yang negatif terhadap pentadbiran sekolah dan tidak memotivasikan mereka untuk memohon jawatan tersebut.


1.4   Tidak bersedia dan kurang pengetahuan

        Ramai rakan-rakan guru yang memohon jawatan sebenarnya belum lagi bersedia untuk mentadbir dan memimpin. Ada yang hanya menjadi Jurulatih Utama mata pelajaran, dan memohon untuk menjadi pentadbir. Ada yang baru saja dilantik setiausaha sukan, terus sahaja memohon jawatan. Ini sekadar contoh.

Apa yang berlaku selepas itu? Mereka gagal untuk menangani masalah pengurusan dan pengoperasian bahagian masing-masing, dek kerana kekurangan pengetahuan dan juga pengalaman. 

Sudahlah begitu, tiada usaha untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang masing-masing. Hanya mengharapkan bantuan  setiausaha masing-masing yang jauh lebih berpengetahuan.

Institut Aminudin Baki sentiasa menyediakan kursus-kursus pembangunan profesional berterusan (CPD) untuk pentadbir sekolah mengikut bidang masing-masing. Kalau tidak berkursus sekalipun, banyakkan membaca bidang masing-masing. Cari SPI-SPI, cari manual dan panduan. Kemudian bertanya kepada mereka yang lebih arif.

Saya rasa ada juga yang terkeliru. Jika anda seorang guru yang akademi, tanpa pernah mengurus sukan sekolah, majlis sekolah, bawa murid sukan dan mengurus mereka, lebih baik mohon satu lagi cabang kerjaya iaitu guru cemerlang.


2.  PERANAN PENTADBIR


2.1    Kurang dorongan dan motivasi

        Pentadbir sebenarnya memainkan peranan yang sangat besar dalam menghasilkan barisan pemimpin pelapis yang berwibawa. Mereka perlu memberi dorongan kepada guru-guru berkelayakan dan berpotensi untuk menjadi pemimpin pelapis berwibawa.

Ianya bukanlah kerja sehari atau seminggu. Atau ketika borang permohonan dikeluarkan. Ianya adalah usaha berterusan mengikut standard 1 SKPMg2. Membimbing dan mendorong. Bakal-bakal pemimpin boleh dicungkil dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, kemudian dibimbing dan dipantau.

Di dalam PBPPP untuk guru, dimensi paling besar markahnya ialah dimensi fungsional. Tetapi untuk melihat wibawa seorang bakal pemimpin, para pentadbir boleh melihat kepada dimensi generik dan keberhasilan. Dimensi-dimensi ini akan melengkapkan lagi seorang guru untuk menjadi pemimpin pelapis yang berwibawa.


2.2    Simpan guru terbaik

        Ada juga di mana ramai pentadbir yang tidak mahu kehilangan guru terbaik mereka. Guru-guru ini biasanya guru yang memberikan khidmat cemerlang kepada sekolah. Tidak cakap banyak, menurut arahan, kerja lebih masa dan sentiasa memberikan hasil kerja yang terbaik.

Kehilangan guru-guru ini akan memberikan beban kepada sekolah yang sangat berharap kepada mereka. Akibatnya pentadbir sukar melepaskan guru-guru ini. Ianya samaada iklan permohonan tidak diwar-warkan ataupun tidak memberikan sokongan atau dorongan untuk guru tersebut memohon jawatan tersebut.


2.3     Sokongan semberono

        Ada juga pentadbir yang menyokong secara semberono semua permohonan guru mereka. Memang benar, pemimpin yang baik melahirkan ramai pemimpin. Jangan kerana pendapat dan pandangan itu, pentadbir menyokong semua permohonan guru.

Ada ketika, guru-guru yang belum berkelayakan atau belum bersedia untuk menjadi pemimpin ini, diberikan penerangan dan taklimat. Diberikan rasional dan justifikasi mengapa perlu tangguh permohonan. Berikan tugasan dan juga bimbingan untuk mencungkil potensi kepimpinan mereka.

Jangan hanya kerana kisah sedih, atau pun semangat mereka yang kuat, pentadbir menyokong permohonan mereka tanpa melihat kelayakn sebenar. Apabila diterima menjawat jawatan, mereka tidak dapat bekerja dengan baik. Mereka tidak dapat menjadi seperti yang sepatutnya.

Akhirnya mereka hanyalah bahan ketawa kepada guru biasa di sekolah. Mereka jadi bahan cerita di kantin dan bilik guru. Mereka jadi bahan bualan di PPD dan di sekolah-sekolah lain. Yang pasti, orang akan bertanya, siapa yang menyokong permohonan mereka? 


3. KAEDAH PEMILIHAN


3.1    Panel penemuduga

        Kita ingin melantik pentadbir sekolah. Pemimpin pelapis. Dalam hal ini, panel penemuduga adalah sangat penting. Ia tidak boleh diberikan kepada sebarangan orang. Pandangan pemimpin adalah sangat berbeza dengan pengurus. Maka calon penemuduga perlulah diberikan kepada mereka yang layak. Siapa agaknya yang layak menemuduga calon-calon ini. 

School Improvement Partner + (SIP+). SIP+ adalah mereka yang dilantik dalam kalangan pengetua. Tugas mereka pula ialah membantu pengetua guru besar dalam mengurus dan mentadbir sekolah. Memberikan pandangan, idea, berkongsi amalan baik dan lain-lain. Sudah tentu, SIP+ adalah calon paling layak, kerana mereka adalah orang yang pernah berada dalam pengurusan sekolah dan masih lagi bersama pemimpin sekolah.

Pengetua Guru Besar Cemerlang, Majlis Guru Besar (MGB), dan Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM). Mereka ini juga sangat layak untuk menemuduga calon-calon pemimpin pelapis. Kita harus sedar, pemimpin pelapis ini akan berkhidmat bersama-sama dengan pengetua guru besar. Jadi merekalah orang paling layak menilai dan menemuduga calon-calon pemimpin pelapis. Mereka sangat tahu, apa yang berlaku di sekolah. Dan mereka juga tahu, apakah kriteria, nilai, dan keperluan yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin pelapis.

Wakil PPD samaada PPD sendiri atau barisan timbalan. Sudah tentu, kita perlukan pucuk pimpinan PPD sesebuah daerah untuk turut serta sebagai panel penemuduga. Mereka sangat arif dalam menentukan keperluan pemimpin pelapis di dalam sesebuah daerah. Mereka kenal semua sekolah dalam daerah mereka, dan mereka tahu, pemimpin bagaimana yang mereka perlukan. Jika tidak sebagai panel penemuduga, mereka boleh menjadi pemantau proses penemuduga dan terlibat dalam panel pemilihan.


3.2    Soalan temuduga

        Satu ketika dahulu, soalan-soalan dalam temuduga penjawat awam mesti ditanya tentang menteri. Ketika itu, kita mesti tahu tentang menteri dan juga isu semasa. Jadi, pemilihan lebih kepada mereka yang tahu nama menteri dan mengetahui hal ehwal semasa. 

Saya kurang bersetuju, untuk bertanya tentang soalan isu semasa dalam usaha melantik seorang pemimpin pelapis. Mengapa saya tidak bersetuju? 

Ini kerana, dalam PBPPP seorang pemimpin pelapis akan dinilai menggunakan instrumen 'Pengajaran dan Pentadbiran (PTA)'. Mereka tidak lagi dinilai sebagai 'Guru Akademik (PDP Guru)'. Apabila mereka dinilai sebagai seorang pentadbir, instrumen mereka akan berubah. Dimensi fungsional mereka juga akan berubah. 60% markah mereka untuk dimensi fungsional telah berubah sama sekali.

Jadi soalan-soalan untuk mereka semasa ditemuduga juga perlu diubah. Ada kalangan pekerja swasta dan makcik kantin boleh menjawab soalan tentang aspirasi murid, tentang PAK21, tentang i-Think. Mengapa begitu? Kerana, setiap hari mereka nampak gegantung tentang PAK21, tentang i-Think, tentang PPPM. Jadi semua guru, seharusnya memang sudah tahu tentang dasar-dasar dan juga perkembangan semasa pendidikan.

Cuba kita tanya calon-calon kita tentang apa yang bakal mereka hadapi. Contohnya, cikgu nak jadi pemimpin yang bagaimana? Apa persediaan cikgu untuk menjadi GPK? Apa program yang cikgu buat di sekolah? Apa peranan cikgu di sekolah? Bagaimana cikgu mengelola program? 

Saya juga sangat suka jika bakal-bakal pemimpin ini diberikan satu masalah atau situasi dan minta mereka berikan pandangan. Contohnya, Ada seorang guru yang tidak mahu beri kerjasama dalam program di sekolah dengan pelbagai alasan. Apa tindakan cikgu untuk pastikan beliau turut serta.

Ataupun, ada 3 elemen di bawah dimensi fungsional dalam PBPPP seorang PTA, iaitu Kepimpinan Instruksional (5 aspek), Pengurusan (5 aspek), dan Kepimpinan (2 aspek). Panel penemuduga bolehlah bertanya mana-mana soalan mengikut 3 elemen tersebut.


   PENUTUP

Kita telah pun memasuki gelombang ketiga PPPM 2013-2025. Anjakan kelima dalam PPPM adalah memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan disetiap sekolah telah pun dilaksanakan dengan mewajibkan kepimpinan sekolah mengikuti kursus NPQEL.










Kenangan Untuk Disimpan

Saya adalah antara generasi transisi antara kamera analog, kamera digital, telefon bimbit dan telefon pintar.. Zaman saya juga zaman ledakan internet dan perkembangan media sosial.. Dari perkembangan chat room seperti Mirc di cyber cafe sehinggalah perkembangan media sosial. Myspace, Friendster sehingga ke Facebook, instagram, twitter.. dan semakin berkembang seperti tik tok dan lain2 lagi..

80an-90an.. Zaman kanak2 hingga awal remaja. Kamera analog yang menggunakan filem.. Susah nak dapt tahun 80an.. tetapi sentiasa ada bila acara besar seperti hari raya dan juga majlis perkahwinan. Gambar zaman ni perlu dicuci. dan banyak juga gambar sy zaman ni di dalam album. sebelum guna, perlu beli filem dulu.. Aneka jenama seperti kodak, fuji filem, konica dan lain2 lagi. 

Rasa teruja bila nak bergambar.. Mesti pastikan posisi dan possing tu menarik. Kalau gambar keluarga, kena susun cantik2. Sebab kita tak boleh tengok hasil ketika itu. Kita tak tau apa gambar yang akan keluar. Lepas filem tu habis digunakan, kita akan hantar filem tu ke kedai gambar untuk dicuci. Filem ni ada 12, 24 dan 36 kapasiti dia. So, excited sangat untuk tunggu siap cuci. Biasa dalam masa 2-3 hari. 

90an - 2000.. Zaman ni, kamera analog agak mudah diperolehi. Harganya agak mampu milik. Banyak juga gambar2 zaman ni dalam album. Cuma, masa ni, kamera bukan dibawa seperti gadget harian. Dia cuma diguna bila ada even2 tertentu. Seperti pergi berkelah atau melancong. Kalau pergi berkelah, atau melancong tu kadang2 beli filem sampai 2-3 gulung. 

Masa ni zaman internet mula berkembang lewat tahun 90an.. Da ada Mirc, chat dll. Cyber cafe pun da mula tumbuh macam cendawan. Di ibu kota ketika itu, cyber cafe dibuka dengan harga RM12 sejam. Ia menarik ramai pengunjung2 terutama pelajar2 IPT. 

2000-2010.. Telefon berwarna diperkenalkan di Malaysia dalam tahun 2003 kalau tak silap. Perkembangannya cepat juga. Kamera digital pun dah mula ada. Harga agak mahal. Ketika itu, saya baru mula posting. Perkembangan itu turut mempengaruhi Kementerian Pendidikan untuk membekalkan kamera digital ke sekolah sebagai salah satu alat bantu mengajar. Telefon bimbit mula ada kamera walaupun sekadar 2 megapixel. Ramai yang mula memiliki kamera digital dan juga telefon pintar berkamera. Mudah untuk mengambil gambar. 

Namun bila dah banyak sangat ambil gambar, saya lupa untuk print/ cuci. Saya simpan dalam laptop, simpan dalam Hard disc, dan juga pendrive. Tapi masalah mula timbul, bila laptop rosak.. hard dic rosak.. pendrive corrupt, hilang dan lain2.


2010-2020.. media sosial semakin bertapak di seluruh Malaysia. Saya antara yang lambat kenal media sosial. Masa tu malas nak fikir. Lama2.. baru tersedar, media sosial juga bermanfaat kalau digunakan dengan betul. Hari ini, saya tersedar, bila banyak gambar kenangan saya, hilang... Salah satu cara untuk simpan, ialah di facebook ini. Tak mengapa kalau tak nak paparkan, kita setting privacy..

Lepas tu da mula muncul photobook.. satu cara mudah nak abadikan kenangan.. Send gambar, bayar sekian2.. Buku bergambar sampai rumah.. Begitulah...Ada jugalah, photobook yang sempat saya buat.. Tak mahal, sekitar RM8 untuk 21 gambar. 

Dah tua2 ni, mula terasa, bahawa kenangan2 tu amat bermakna. Lebih2 lagi bila anak2 mula membesar. Dan yang penting, ada bukti, perut saya dahulu selim melim 🤣🤣🤣

Terima kasih Rosnaini Othman dan Cik Eika yang menyedarkan sy dengan posting mereka.. Untuk generasi baharu, simpanlah kenangan.. sejarah hidup kita, kerana satu hari nnt, kenangan2 tu sangat manis untuk dikenang. 😊

PKP Fasa 3 : Jalan Terus!! Terima Kasih Cikgu - Cikgu Ku

Pengumuman Perdana Menteri tadi, PKP dilanjutkan. Alhamdulillah. Keputusan yang wajar dari pihak kerajaan. Aku pulak, dah mula rindu. Rindu nak dengar hingar bingar waktu rehat. Rindu nak jegil mata pada anak - anak yang berlari kat koridor. Rindu nak menyakat cikgu - cikgu kat kantin, kat bilik guru. Rindu nak bergaduh manja dengan GPK2.

Sesi brainstorming dengan cikgu -
cikgu siang tadi.
Apapun, sebagaimana wajarnya kerajaan telah membuat keputusan, kita rakyat seharusnya menyokong. Bersama - sama dalam memenangi peperangan menentang wabak ini. Kebersamaan memastikan kejayaan. Begitu juga di mana - mana organisasi. Dan begitu juga lah di sekolah aku.

Siang tadi, sesi brainstorming bersama para guru melalui saluran whats app tentang bagaimana kami ingin terus work from home. Alhamdulillah, macam - macam idea daripada cikgu - cikgu. Macam - macam pendapat. Masing - masing cuba memberi yang terbaik untuk anak - anak, dengan mengambil pelbagai pertimbangan dan isu. Akhirnya kami bersepakat, untuk meneruskan sesi PdPc dengan beberapa kriteria yang kami putuskan. 

Untuk fasa ketiga PKP ini, kami sedar, kami tidak boleh lagi memberikan tugasan kepada murid. Sudah sampai masanya, kami meneruskan kepada sesi Pdpc. Oh ya... Kau boleh tengok semula apa yang kami buat sebelum ni di sini. Semua ketetapan sebelum ini diguna pakai.

KAEDAH BIMBINGAN VIDEO/ NOTA PADAT

Elok je cikgu aku bagi nota macam ni..
Takda masalah, aku terima.
Kami sepakat untuk menghasilkan sesi video yang di rakam, untuk diberikan kepada murid -murid, melalui platform whats app dan juga Gerbang Digital Sekolah.  Cikgu - cikgu bebas untuk menghasilkan apa sahaja video mengikut kemahiran dalam Pdpc. Sesuaikan dengan kemahiran. Agak - agak kemahiran susah, tinggalkan dahulu. Buat mana - mana kemahiran yang sesuai dengan bimbingan video.

Aku letak syarat, video itu mestilah tidak lebih 15 minit. Kalau lebih, susah untuk cikgu rakam, susah untuk cikgu muat naik, susah untuk anak - anak muat turun dan banyak sangat kontennya. So, biar sikit tetapi berbaloi. Biar semua pihak mudah. Nak buat video pun bukan mudah kan. Nak cari line lagi, mau duk atas bumbung waktu - waktu PKP ni.

Sabar. Tak dalah nak menyusahkan cikgu - cikgu. Kalau kau ada video sesuai dari youtube, kau boleh ambil dan berikan pada anak - anak. Ataupun, ada ketika bimbingan video tak sesuai, kau lukis atau tulis sahaja nota di atas kertas. Beri pada aku, aku jadikan dalam bentuk pdf. Kata kunci dia, mana - mana yang mudah untuk cikgu, murid dan ibu bapa serta bersesuaian.

TUGASAN

Aku minta juga. Minta cikgu - cikgu sertakan sekali tugasan selepas satu - satu video dan nota diberikan. Ada juga syaratnya, kalau nak cantik guna soalan yang dibina daripada Google forms. Tapi kalau tak ada, tak pa. Bagi je soalan tulis tangan. Sebab ada juga cikgu - cikgu di kampung yang tak bawak balik laptop.

Tugasan tu, jangan banyak - banyak. 5 soalan pun cukup. Bergantung pada jenis soalan lah kan. Takkan nak bagi karangan 5 soalan. Matilanak.. Hahahaha... Sesuaikanlah. Tak pa biar anak - anak dapat jawab soalan. Biar dia rasa waaahhhh aku da siap. Aku boleh buat. Biar dia tunggu pulak apa kerja esok cikgu nak bagi.

MASA

Kartun ni nampak kelakar, tapi dia patut beri kita kesedaran
untuk mempertimbangkan banyak perkara
Kami juga tetapkan, masa fleksibel. Bila - bila saja anak - anak boleh jawab. Benda ni kita kena sedar, mereka susah nak dapat akses. Terutama yang berkongsi dengan ibu dan ayah. Tak semua mak ayah ada di rumah. Ada yang bekerja di barisan hadapan. Ada yang bekerja sebagai penghantar makanan, pemandu, dan lain - lain. So, biarkan anak - anak ambil masa mereka sendiri.

Hatta, buat pada hari Jumaat dan Sabtu pun tak mengapa, kalau itu masa yang mereka ada. Kartun kat sebelah tu, nampak macam melawak, tapi ia patut memberi kita kesedaran untuk mempertimbangkan banyak benda.

Jadi, kalau anak - anak diberikan kuiz google forms tu mudahlah. Tapi kalau kerja - kerja yang bertulis, maka aku nasihatkan cikgu - cikgu agar menerima sahaja kerja pada bila - bila masa.

JADUAL

Untuk aku, dipihak pentabir ini. Aku tak bolehlah lepas tangan. Aku kena pantau, selia, bimbing, nasihat dan banyak perkara aku kena buat. So, aku kena susunkan jadual. Jadual ni, jadual untuk cikgu - cikgu letakkan video atau nota pdpc mereka beserta tugasan.

Semua catatan ringkas cikgu - cikgu.
So, aku teruskan ketetapan yang lepas, satu hari satu subjek. Cuma, aku lom sempat nak buat. Sebab nak tulis blog dulu. Hahahahaha... Tak sabar - sabar aku nak bercerita kat korang sebenarnya, tentang cikgu - cikgu aku yang sentiasa memahami dan membantu aku. Alaaaa lagi pun esok Sabtu. nantilah aku bagi jadual. Heheheh.

RPH..? Mana ada RPH kan. Catatan ringkas. Ye cikgu - cikgu aku sentiasa isi catatan ringkas melalui google form yang telah pun aku sediakan. So, ni tugas aku lah. Memastikan pelaksanaan berjalan. Semak, tegur kalau ada yang tak kena. Benda kan aku dah mudahkan. So, cikgu - cikgu pun kenalah usaha juga. Tapi alhamdulillah. Semua beri kerjasama yang baik.

INISIATIF

Perbincangan aku dengan ustazah tentang
Minggu Bahasa Arab
Dalam penulisan aku yang lepas, aku ada tulis, aku buat challenge. Tak lama lepas tu, banyak jugak sekolah lain yang buat usaha begitu. Ada yang melukis poster, ada yang buat video, ada yang beri galakkan dengan hadiah wang tunai. Alhamdulillah. Bagus lah macam tu. Ehhh... jap2.. aku tak claim diaorg tiru. Hahahaha.. Maksud aku, benda yang bagus buat je lah.

Tiba - tiba, Menteri Pengajian Tinggi buat challenge Tik Tok. Hahahahahaha... Kidding me?  Aku ingat kalau IPT punya challenge buat inovasi ke, apa ke, lebih baik kot. So, lepas ni aku memang ada nak buat challenge lagi. Panitia RBT aku, nak buat Cabaran menu PKP Bangsa Pogoh. Murid akan berkongsi resepi yang dihasilkan. Haaa gitu lah. Tunggu lah nanti.

Dalam pada tu, ada seorang ustazah text aku. Dia nak buat Minggu Bahasa Arab. Sepatutnya ikut takwim yang aku buat, minggu kedua Ramadhan. So, kami dah berbincang untuk buat minggu hadapan. Dan aku akan sekalikan dengan Minggu Ihya Ramadhan. So, lagi banyaklah cabarannya nanti.

PKP : UJIAN DAN CABARAN KITA

PKP da masuk fasa ketiga. Ujian dan cabaran untuk kita. Sedikit demi sedikit, kita mula sesuaikan diri dengan ujian dan cabaran ini. Semuanya terletak pada kita. Kitalah yang perlu menyesuaikan diri kita. Benar, setiap daripada kita dihadapkan dengan masalah yang berbeza dan pelbagai. Tetapi, ia bukan tentang apa yang kita hadapi, tetapi tentang bagaimana kita bertindak.

Sebab tu aku nak highlight kan kepada korang yang membaca, tentang cikgu - cikgu aku. Bagusnya cikgu - cikgu aku yang sentiasa menyokong. Diaorang tak bising - bising, diaorang tak marah - marah, tapi diaorang turut sama membantu aku, mencari solusi.

Di luar sana, macam - macam isu, isu cikgu macam dewa lah, isu cikgu bagi banyak kerja lah, isu cikgu makan gaji buta lah, isu potong gaji cikgu lah. Tu belum isu cikgu - cikgu sendiri yang mengecam rakan - rakan guru sebab berusaha untuk memastikan pdpc tidak pernah berhenti. Aku ikuti. Tapi aku tak peduli. Kami tak peduli. Biarlah lah mereka. Ada aku kesah?

Kami menjalankan tugas dan kewajipan yang dipertanggungjawabkan. Andai kata, daripada 30 orang murid dalam satu kelas, hanya 3 orang yang menjawab dan mengikuti apa yang kami buat, itu pun kami rasa syukur. Sekurang - kurangnya usaha kami berjaya.

Untuk kelas tahun 6, tak mengapa. Kita ikut sahaja apa yang dirancang kementerian akan datang. Jangan kita bimbang sehingga kita abaikan apa juga yang diperlukan ketika PKP ini. Buat apa yang mampu. Apa yang semua pihak mampu. Baik guru, murid dan ibu bapa.



Siang tadi, rindu betul dengan cikgu - cikgu. Aku hantar satu video buat mereka. Saja, nak bergurau senda. Lama betul tak bergurau. Kalau teks, takut nanti salah faham, so, hantar video. So, senang cerita, naik sekolah nanti, kita timbang berat badan masing - masing. Nak isi markah SEGAK untuk cikgu - cikgu. Hahahahahaha... Jumpa lagi.

Cikgu dan PKP... Masa Untuk Bermuhasabah

Banyak betul cerita tentang guru di media sosial. Baik di dinding sendiri atau pun di halaman - halaman lain. Entahlah. Tak tahu nak ulas macamana. Tak perlu pun ulas sebenarnya. Tapi atas kedudukan, dan rasa tanggungjawab, aku menulis juga. Harapan aku, kalau ada 10 yang baca, ada seorang yang dapat manfaatnya.

Dalam penulisan aku kali ini, aku malas nak bercerita tentang Si Jaafar tu. Tak berminat dan bukan perkara pokok dalam tulisan ini. Aku lebih suka menulis dalam ruang lingkup aku iaitu dunia pendidikan kita. Cikgu lah. Kita kan cikgu. Hatta, kalau kau dekat KPM ke, JPN ke, PPD ke, selagi kau DG, kau cikgu lah dulu. Aku tak nak tulis dalam - dalam, cukup sekadar memberi satu dua pandangan.

Aku baca apa yang Si Jaafar tu tulis. Tulisan beliau penuh dengan perangkap. Menunggu masa untuk pembaca yang terjerat. Para pembaca yang terjerat, akan memberikan komen. Malah ada yang screenshot dan mengulas di wall masing - masing dan juga halaman - halaman lain. Perkara ini sebenarnya telah 'memberikan kemenangan kepada beliau. Dan telah membantu beliau dalam membuktikan bahawa beliau di pihak yang benar. Beliau dapat apa yang beliau mahukan. Perhatian, like, traffic dan lain - lain.

IT'S NOT WHAT HAPPENS TO YOU,  BUT HOW YOU REACT TO IT MATTER

Rakan - rakan guru yang dihormati... Beginilah, Kita adalah guru, satu profession yang paling mulia. Kitalah yang menjunjungnya. Kitalah yang menjaganya. Jangan salah faham. Aku bukan menyalahkan guru. Aku cuma nak tulis, apa sebenarnya yang perlu kita lakukan. 

Pertama, kita perlu matang. Matang untuk menangani provokasi sebegini. Matang dalam memberi komen. Matang dalam mendepani sebarang isu. Bagaimana hebatnya kalian mendepani anak - anak di sekolah, memanusiakan mereka, menghasilkan kemenjadian murid yang cemerlang dalam pelbagai bidang, begitu jugalah kalian perlu hebat dalam menangani isu. Matang bagaimana? 

Raikan pendapat. Jangan anggap semua perkara itu kecaman. Anggap ianya pendapat, dan kita perlu berhujah dengan kematangan emosi yang tinggi. Gunakan perkataan dan laras bahasa yang baik. Itu pendapat dia. Hujah dan pendapat  kita apa pula? Jangan sesekali memberi komen dengan emosi. 

Kadang - kadang, bukan kenyataan Si Jaafar tu je, kenyataan dan pendapat rakan - rakan lain pun, kita kecam dan hentam. Rakan - rakan kita sekadar memberi pandangan, maka raikanlah mereka dengan pendapat kita. Idea kita. Bukan kah itu  lebih mencerminkan kematangan kita dalam konteks seorang pendidik?

Kedua, bersyukur. Bersyukur itu adalah ubat untuk penyakit hati. Kita perlu sentiasa bersyukur. Kita kena bersyukur dalam banyak hal. Bersyukur sebab tuhan bagi masa bersama keluarga. Syukur sebab kita masih lagi diberi kesihatan dan dijauhkan dari sebarang penyakit. Syukur sebab masih lagi diberi rezeki walaupun kita bekerja dari rumah.

Sekurang - kurangnya, kita perlu bersyukur sebab kita adalah seorang guru. Satu profession yang mulia. Kita ada cara kita sendiri dalam membantu negara menghadapi situasi ini, walaupun kita tidak berada di barisan hadapan. Sedang rakan - rakan penjawat awam lain berperang di barisan hadapan, kitalah yang memikirkan anak - anak mereka dengan membekalkan pelbagai latihan dan tugasan untuk anak - anak mereka. Leka seketika dari kerisauan memikirkan ibu bapa mereka yang sedang berjuang di barisan hadapan. Sekurang - kurangnya.

Dengan bersyukur, inshaallah, kita sentiasa dipelihara, daripada sikap negatif seperti mempersoalkan hal - hal orang lain. Terhindar dari iri hati kepada orang lain. Terpelihara daripada sikap memperlekehkan orang lain. Inshaallah, kenyataan kita lebih baik. Emosi kita lebih stabil, dan kerja kita pastikan akan lebih produktif.

Ketiga, sentiasalah bersikap positif dan berlapang dada. Sukar. Tapi tidak mustahil. Kritikan yang terbaik datang dari musuh kita sendiri. Ehh... Kita ada musuh ke? Hurmmm dunia sekarang ini, musuh ada di mana - mana, tanpa kita menciptanya. Kalau ada kritikan, kita baca sampai habis. 

Faham dan hadam sebaiknya. Kadang - kadang setiap kritikan orang itu, telah diteliti oleh pihaknya. Mungkin bukan kita, tapi ada segelintir kita. Tak mengapa. Ambil sebagai satu kritikan yang membina. Mana yang perlu dibaiki, kita baiki. Sentiasa berfikiran positif. Kita baiki diri sehingga mereka tiada ruang untuk memberikan kritikan lagi. Berlapang dada. Jangan cepat melatah. Fikir semua keburukan dan kebaikan dalam setiap tindakan kita.

PUTUSKAN RANTAIAN NEGATIF INI

Sebagaimana kita berusaha memutuskan rantaian wabak COVID19 ini dengan duduk di rumah, kita juga boleh memutuskan rantaian negatif ini. Hentikan sebarang komen, perkongsian, dan apa - apa pendapat mengenainya. Jika tiada apa - apa tindak balas daripada kita, maka inshaallah terhentilah rantaian ini. Kita 

Kita buat, apa yang sepatutnya kita buat. Cikgu - cikgu sentiasa buat yang terbaik untuk anak - anak murid sepanjang PKP ini. Teruskanlah. Teruskan apa yang baik. Rakan - rakan guru kita semua bukan calang - calang. Semua berkemahiran dan hebat - hebat belaka. Banyak sangat ilmu yang saya perolehi dari pada laman muka buku daripada perkongsian rakan - rakan guru. 

Apa juga isu mutakhir ini, hanyalah ujian untuk kita. Tuhan uji kematangan kita, kesyukuran kita, emosi kita. Kalau masih tak tahan untuk berbicara tentang isu - isu ini, silakan bicara. Tapi kita cari alternatif lain. Mungkin dalam platform media sosial yang lain. Kumpulan whats app contohnya. Bincanglah, dan cari solusi bersama. Maklumlah, kan tak boleh mengeteh time PKP ni. Ataupun, berceloteh sendiri macamaku di blog.

Tulisan ini, bukan untuk menarik perhatian ramai. Sekadar memberi pendapat dan pandangan. Aku kurang suka untuk memberi pendapat di ruang media sosial facebook. Ruangnya agak terhad, tetapi capaiannya terlalu ramai, dan menjadikan aku tak selesa. Platform blog ni, dah tak glamour macam dulu. Dah bukan musim sangat. So aku selesa sikit. Kalau aku kongsi di facebook pun, orang tak perasan sangat. Hahahahaha.. 

So teruskan apa yang baik. Hindarkan diri kita daripada orang - orang dan keadaan yang negatif. Kita bukan macam mereka, so kita jadi diri kita sendiri. Sentiasa positif. Jumpa lagi.

Sistem Birokrasi di Sekoah... Satu pandangan

Petang tadi, aku dapat satu pesanan whats app daripada seorang sahabat yang sedang dalam pengajian Master nya. Dia minta pandangan lebih kurang begini, "selama cikgu menerajui pucuk pimpinan di sekolah, apakah pandangan cikgu tentang sistem birokrasi yg diamalkan di sekolah, khususnya yg melibatkan pentadbiran sekolah?" Hahahahahaha.... Aku tergelak besar. Kenapa aku gelak?

Aku rasa macam ilmiah sangat soalan ni. Aku pulak jenis huha huha. Rasa macam tak layak la untuk menjawab. So, post ni memang aku tak publish la ke media sosial. Hahaha. Puas jugak duk mikir, apa cara terbaik aku nak menjawab. So, aku ada gak buat pencarian kat Google tadi, tapi aku tengok, ada satu blog tu, sebijik dia ambik kat Wikipedia. Maka, aku tulis je lah berdasarkan apa yang aku tau. Kira pure la daripada aku.

Siap nak ber blog bagai? Hahahaha... Yang bertanya bukan kaleng - kaleng. So kalau aku jawab kat blog, aku rasa mcm bebas sikit nak menjawab. Nak bercerita, pandai - pandai la dia cari point dia. Kihkihkih. Untuk menjawab soalan ni, aku sandarkan kepada Naratif Baharu Amalan Pendidikan,  dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPMg2). 

NARATIF BAHARU AMALAN PENDIDIKAN

Pada tahun 2019, satu Naratif Baharu Amalan Pendidikan telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia ketika itu, yang menyaksikan naratif utamanya iaitu pembelajaran berasaskan perkembangan, telah disokong oleh 3 sub naratif. Salah satunya ialah kepimpinan pendidikan. 

Satu transformasi berlaku, apabila, corak pengurusan kepimpinan pendidikan terkini ialah bersifat bottom - up. Selama ini, sepanjang aku berkhidmat, pengurusan pendidikan adalah dari atas ke bawah. Top - down. Apa maksudnya?.

Ini bermakna, sekolah diberi kuasa untuk menentukan apa saja perkara dan pelaksanaan mengikut acuan sendiri. Mengikut pertimbangan dan jugak perkiraan sekolah sendiri. Asalkan, masih lagi mengikut ketetapan utama yang digariskan kementerian.

Sekolah lah yang merancang setiap penambahbaikan yang perlu dilaksanakan. Ianya berdasarkan kepada semua kluster yang diperkenalkan dalam Dialog Prestasi. Ilmiah sangat ni. Adehh.. Gini, sekolah kau sekolah kampung, kenapa budak tak datang?

Kau cari punca, kau buat intervensi, kau selesaikan. Kau tetapkan KPI kehadiran murid kau sendiri. Tak payah ikut sekolah lain. Tak payah ikut KPI PPD ke JPN ke. Dah sekolah kau kat pulau, musim tegkujuh budak tak boleh datang. Yang gatal - gatal gi letak sampai 99% kenapa. Haaaa.. gitu le ibarat.

STANDARD KUALITI PENDIDIKAN MALAYSIA GELOMBANG 2

Dalam pada itu, kau perlu guna juga SKPMg2 sebagai guideline untuk kau mengurus. Alat untuk menilai pengurusan sekolah. Nampak hubung kait dia? Kau diberi autoriti untuk mengurus sekolah, melaksanakan penambahbaikan, buat sistem pengurusan sendiri, intervensi sendiri, dan nilai sendiri menggunakan SKPMg2 sebagai alat untuk kau tentukan keberkesanan apa yang kau buat.

Bimbingan
Jap.. macam dah jauh je dari soalan atas tu? Hahahahaha... Sabar.. Aku memang gini, nak menjawab soalan tu jauh aku pergi dulu. Kikkkikk...  Okey.. da mula masuk la tu. Pandangan tu last - last baru ada.. Haaaa

Standard 1 SKPMg2 adalah tentang kepimpinan. nak tak nak kena sentuh. Ada 3 aspek, iaitu, PGB sebagai peneraju, pembimbing, pendorong. Meneraju sekolah untuk mencapai matlamat dan objektif, membimbing subordinat untuk meningkatkan kecekapan dan kompetensi, dan mendorong warga sekolah dan meningkatkan motivasi dalam melaksanakan tugasan.

Sudah terang dan jelas, kau kepala sekolah. Kena buat lah benda - benda tu. Ni kau main arah je. Tau la kau tu ketua. Ntah mana bimbingnya, ntah mana dorongnya. Main order je. So, dalam banyak hal, kau amalkan lah sebanyak mana sentuhan kemanusiaan terhadap warga sekolah.

Iklim
Standard dua adalah pengurusan organisasi. Ada 7 aspek semua sekali iaitu Pengurusan sumber manusia, aset, kewangan, sumber pendidikan, iklim, perpaduan dan permuafakatan strategik. Ini adalah asas dalam pengurusan sekolah. Core dia. Aku tengah bercerita tentang organisasi. So kau kenalah urus sumber manusia kau supaya mereka seronok, puas bekerja, professionalisme dan kompetensi meningkat,

Kemudian, kau urus semua aset dan kewangan, supaya setiap yang dibelanjakan memberi pulangan yang optimum. Aset dijaga dengan baik. Urus sumber pendidikan, supaya dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan memberikan kemenjadian murid yang sangat baik dalam pelbagai bidang.

Celah - celah tu pulak, kau kena pastikan iklimsekolah kau harmoni,persekitaran kondusif, dan membantu dalam memberikan kesejahteraan untuk warga sekolah. Wujudkan pemuafakatan strategik dengan pelbagai pihak, supaya kau dapat menggunakan kelebihan itu dalam memperkasakan kemenjadian murid kau. Dan paling penting, sebagai rakyat Malaysia, kau kena pupuk perpaduan sedari kecil lagi. Tu benda - benda yang kau kena uruskan dalam organisasi sekolah kau.

APA AKU BUAT?

Mana pandangannya? Hikhikhik. Ni lah aku nak cerita. Hishhh... Baik.. Berdasarkan 2 benda kat atas tu, aku akan ceritakan apa aku buat kat sekolah. Ada perkara yang aku kena ikut semua benda yang telah ditetapkan. Ada juga benda yang aku rasa, aku ikut kepala aku lah.

PBPPP, PBS, urusan pendaftaran dan pertukaran murid, pengurusan kewangan dan aset,  dan beberapa perkara lagi (yang aku dah lupa), aku urus mengikut ketetapan yang telah diberikan. PBPPP contohnya, aku ikut setiap langkah dalam carta alir tu. Begitu juga dengan urusan pendaftaran dan pertukaran murid. Aku ikut prosedur dan langkah yang ditetapkan. Sistem sedia ada dah cekap. Ikut sahaja.

Pengurusan kewangan sama juga, aku beri taklimat, aku minta semua yang terlibat buat anggaran belanjawan mengurus, perlu ada nota minta, perlukan perbincangan dengan aku, kemudian dah dapat barang, kena semak, masuk stok. Tak ada masalah. Apa yang aku nak cerita sterusnya ialah, perkara - perkara lain yang aku buat, yang aku ubah suai, yang aku rasa, perlu mudahkan urusan, kurangkan kerenah. 

SK POGOH 2020

Dengan kuasa yang aku ada, takwim dan perancangan sekolah dibuat oleh aku sendiri dengan sokongan para GPK aku. Seawal Disember aku biasanya dah siapkan. Aku tentukan tugas dan tanggungjawab setiap cikgu, berdasarkan kekuatan, dan perancangan masa depan. Tak banyak kerja tak semestinya ringan, dan berat tak semestinya banyak tugasan. 

Semua ada dalam ni
Hari Isnin adalah hari professional sekolah. Buat lah apa pun pada hari tersebut. Nak mesyuarat, nak bincang program, nak PLC, LDP, taklimat, baca buku, dan apa - apa sahaja berlaku pada hari Isnin. 2:30 hingga 4:30. Aku minta warga sekolah bersiap sedia pada hari tersebut. Uruskan semua keperluan lain. Bincang dengan pasangan masing - masing untuk urusan harian.

Begitu juga Sabtu kedua setiap bulan. Aku laksanakan LDP. Awal - awal mesyuarat lagi dah berlaku ketetapan. Pastikan semua maklum dan amil tindakan. Habis kalau Isnin tu tak ada apa - apa? Kalau Sabtu tak ada apa - apa? Hahahah kalau tak da tak apa lah. Kalau Isnin sy ada urusan? Aku bukan firaun. Meh datang jumpa aku, dan kita bincang. Selesai.

Aku hadiahkan semua orang buku catatan yang mengandungi takwim dan pengurusan sekolah. Semua berpandukan buku tu. Siapa kena menyelaras, rujuk bila kena laksana. Sekurang - kurangnya sebulan sebelum, dah siapkan kertas kerja dan berbincang dengan aku dan GPK. Banyak ruang untuk aku bimbing dan dorong.

Mulai 2020, semua GPK tak da setiausaha masing - masing, kecuali setiausaha sukan. Tak ada lagi setiausaha kurikulum, setiausaha Hem, setiausaha Kokurikulum. Dah kenapa tak ada? GPK 12 waktu je seminggu. So, waktu free, buat lah kerja. Takkan nak arah je. Haaa sebab tu standard 1 tu penting. GPK pun kena kerja lah. Takkan nak buat surat pun tak boleh. Kerja GPK ni merancang, membimbing, menyelia. Bukan mengarah semata - mata.

Semua di hujung jari
Mesyuarat Pengurusan Sekolah aku buat sekaligus. Mesyuarat pengurusan, mesyuarat kurikulum, mesyuarat HEM, dan mesyuarat Kokurikulum. Sekali harung orang kata. Asasnya ada 4 kali dalam setahun. Setiap guru dan AKP, akan mencatat minit mengikut turutan secara bergilir - gilir. Semua orang akan rasa. Dalam masa 7 hari, perlu hantar softcopy pada aku, dan kemudian, edarkan secara softcopy juga. Sebab tu dah tak payah setiausaha lagi.

Aku buat sites sekolah. So, banyak laporan - laporan aku letak kat situ. Cikgu isi dan boleh terus cetak. Boleh diakses melalui telefon bimbit. Dan boleh dijadikan home screen juga. Laporan guru bertugas mingguan, borang kebenaran keluar, rekod kehadiran mesyuarat, rekod harian RMT, minit curai dan macam - macam lagi.

So, tak ada lagi kisahbuku laporan hilang. Tak jumpa cari. Nak keluar, tak perlu ke pejabat lagi, just jumpa siapa yang perlu dan isi secara online, terus borang dijana. Pergi mesyuarat terus catat minit curai, automatik dijana, aku terus boleh baca masa tu juga.

Pengurusan bantuan. Guru kelas kutip borang dan proses, data GPK urus. So memang tak perlu setiausaha. Kalau tak tahu, meh sini gubesar tunjuk dan bimbing. PAJSK kepa mesti setiausaha kokurikulum yang isi? Pemimpin kelab persatuan lah yang isi. Diaorang yang kenal ahli - ahlinya. SEGAK, kenapa su sukan yang isi? Guru Pendidikan Jasmani lah yang isi. Mereka yang jalankan ujian.

SIKIT JE PENDAPATNYA, CERITA YANG LEBIH

Dah panjang sangat aku bercerita. Aku rasa macam tak sampai je jawapan aku. Hahahahahahaahhah... Tak apa lah kan..

Begini, aku berpendapat, sistem birokrasi di sekolah makin kurang kerenahnya. Tolak tepi, perkara yang datang terus dari KPM. Tapi kalau setakat di sekolah, ia adalah terpulang kepada pihak sekolah sendiri. Ikut acuan masing - masing. Naratif Baharu Amalan Pendidikan dengan jelas menerangkan danmembawa dimensi baharu dalam pengurusan. SKPMg2 sebagai 'pemandu' dan penilaian pengurusan sekolah yang terbaik. 

Gabungan 2 perkara di atas dengan jelas membantu pengurusan mengurangkan kerenah birokrasi di sekolah. Dengan kreativiti, idea - idea baharu dan segar, serta sentuhan kemanusiaan, para pentadbir pasti dapat memacu sekolah dengan lebih licin dan lancar.


...Haah la.. macam tak sampai. 





























Post lain