Banyak betul cerita tentang guru di media sosial. Baik di dinding sendiri atau pun di halaman - halaman lain. Entahlah. Tak tahu nak ulas macamana. Tak perlu pun ulas sebenarnya. Tapi atas kedudukan, dan rasa tanggungjawab, aku menulis juga. Harapan aku, kalau ada 10 yang baca, ada seorang yang dapat manfaatnya.
Dalam penulisan aku kali ini, aku malas nak bercerita tentang Si Jaafar tu. Tak berminat dan bukan perkara pokok dalam tulisan ini. Aku lebih suka menulis dalam ruang lingkup aku iaitu dunia pendidikan kita. Cikgu lah. Kita kan cikgu. Hatta, kalau kau dekat KPM ke, JPN ke, PPD ke, selagi kau DG, kau cikgu lah dulu. Aku tak nak tulis dalam - dalam, cukup sekadar memberi satu dua pandangan.
Aku baca apa yang Si Jaafar tu tulis. Tulisan beliau penuh dengan perangkap. Menunggu masa untuk pembaca yang terjerat. Para pembaca yang terjerat, akan memberikan komen. Malah ada yang screenshot dan mengulas di wall masing - masing dan juga halaman - halaman lain. Perkara ini sebenarnya telah 'memberikan kemenangan kepada beliau. Dan telah membantu beliau dalam membuktikan bahawa beliau di pihak yang benar. Beliau dapat apa yang beliau mahukan. Perhatian, like, traffic dan lain - lain.
IT'S NOT WHAT HAPPENS TO YOU, BUT HOW YOU REACT TO IT MATTER
Rakan - rakan guru yang dihormati... Beginilah, Kita adalah guru, satu profession yang paling mulia. Kitalah yang menjunjungnya. Kitalah yang menjaganya. Jangan salah faham. Aku bukan menyalahkan guru. Aku cuma nak tulis, apa sebenarnya yang perlu kita lakukan.
Pertama, kita perlu matang. Matang untuk menangani provokasi sebegini. Matang dalam memberi komen. Matang dalam mendepani sebarang isu. Bagaimana hebatnya kalian mendepani anak - anak di sekolah, memanusiakan mereka, menghasilkan kemenjadian murid yang cemerlang dalam pelbagai bidang, begitu jugalah kalian perlu hebat dalam menangani isu. Matang bagaimana?
Raikan pendapat. Jangan anggap semua perkara itu kecaman. Anggap ianya pendapat, dan kita perlu berhujah dengan kematangan emosi yang tinggi. Gunakan perkataan dan laras bahasa yang baik. Itu pendapat dia. Hujah dan pendapat kita apa pula? Jangan sesekali memberi komen dengan emosi.
Kadang - kadang, bukan kenyataan Si Jaafar tu je, kenyataan dan pendapat rakan - rakan lain pun, kita kecam dan hentam. Rakan - rakan kita sekadar memberi pandangan, maka raikanlah mereka dengan pendapat kita. Idea kita. Bukan kah itu lebih mencerminkan kematangan kita dalam konteks seorang pendidik?
Kedua, bersyukur. Bersyukur itu adalah ubat untuk penyakit hati. Kita perlu sentiasa bersyukur. Kita kena bersyukur dalam banyak hal. Bersyukur sebab tuhan bagi masa bersama keluarga. Syukur sebab kita masih lagi diberi kesihatan dan dijauhkan dari sebarang penyakit. Syukur sebab masih lagi diberi rezeki walaupun kita bekerja dari rumah.
Sekurang - kurangnya, kita perlu bersyukur sebab kita adalah seorang guru. Satu profession yang mulia. Kita ada cara kita sendiri dalam membantu negara menghadapi situasi ini, walaupun kita tidak berada di barisan hadapan. Sedang rakan - rakan penjawat awam lain berperang di barisan hadapan, kitalah yang memikirkan anak - anak mereka dengan membekalkan pelbagai latihan dan tugasan untuk anak - anak mereka. Leka seketika dari kerisauan memikirkan ibu bapa mereka yang sedang berjuang di barisan hadapan. Sekurang - kurangnya.
Dengan bersyukur, inshaallah, kita sentiasa dipelihara, daripada sikap negatif seperti mempersoalkan hal - hal orang lain. Terhindar dari iri hati kepada orang lain. Terpelihara daripada sikap memperlekehkan orang lain. Inshaallah, kenyataan kita lebih baik. Emosi kita lebih stabil, dan kerja kita pastikan akan lebih produktif.
Ketiga, sentiasalah bersikap positif dan berlapang dada. Sukar. Tapi tidak mustahil. Kritikan yang terbaik datang dari musuh kita sendiri. Ehh... Kita ada musuh ke? Hurmmm dunia sekarang ini, musuh ada di mana - mana, tanpa kita menciptanya. Kalau ada kritikan, kita baca sampai habis.
Faham dan hadam sebaiknya. Kadang - kadang setiap kritikan orang itu, telah diteliti oleh pihaknya. Mungkin bukan kita, tapi ada segelintir kita. Tak mengapa. Ambil sebagai satu kritikan yang membina. Mana yang perlu dibaiki, kita baiki. Sentiasa berfikiran positif. Kita baiki diri sehingga mereka tiada ruang untuk memberikan kritikan lagi. Berlapang dada. Jangan cepat melatah. Fikir semua keburukan dan kebaikan dalam setiap tindakan kita.
PUTUSKAN RANTAIAN NEGATIF INI
Sebagaimana kita berusaha memutuskan rantaian wabak COVID19 ini dengan duduk di rumah, kita juga boleh memutuskan rantaian negatif ini. Hentikan sebarang komen, perkongsian, dan apa - apa pendapat mengenainya. Jika tiada apa - apa tindak balas daripada kita, maka inshaallah terhentilah rantaian ini. Kita
Kita buat, apa yang sepatutnya kita buat. Cikgu - cikgu sentiasa buat yang terbaik untuk anak - anak murid sepanjang PKP ini. Teruskanlah. Teruskan apa yang baik. Rakan - rakan guru kita semua bukan calang - calang. Semua berkemahiran dan hebat - hebat belaka. Banyak sangat ilmu yang saya perolehi dari pada laman muka buku daripada perkongsian rakan - rakan guru.
Apa juga isu mutakhir ini, hanyalah ujian untuk kita. Tuhan uji kematangan kita, kesyukuran kita, emosi kita. Kalau masih tak tahan untuk berbicara tentang isu - isu ini, silakan bicara. Tapi kita cari alternatif lain. Mungkin dalam platform media sosial yang lain. Kumpulan whats app contohnya. Bincanglah, dan cari solusi bersama. Maklumlah, kan tak boleh mengeteh time PKP ni. Ataupun, berceloteh sendiri macamaku di blog.
Tulisan ini, bukan untuk menarik perhatian ramai. Sekadar memberi pendapat dan pandangan. Aku kurang suka untuk memberi pendapat di ruang media sosial facebook. Ruangnya agak terhad, tetapi capaiannya terlalu ramai, dan menjadikan aku tak selesa. Platform blog ni, dah tak glamour macam dulu. Dah bukan musim sangat. So aku selesa sikit. Kalau aku kongsi di facebook pun, orang tak perasan sangat. Hahahahaha..
So teruskan apa yang baik. Hindarkan diri kita daripada orang - orang dan keadaan yang negatif. Kita bukan macam mereka, so kita jadi diri kita sendiri. Sentiasa positif. Jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan