BEST TAK JADI GURU BESAR

Sembang-sembang dengan member. Dia tengah kursus nak jadi guru besar. Aku selalu share dengan dia. Aku share apa patut buat. Begitu begini. Supaya nanti dia jadi guru besar yang atas landasan. Aku tak kata aku bagus. Tapi aku rasa aku tau macam mana nak jadi guru besar, ketua yang elok. 

Masa posting dulu, aku ingat, ketua tu orang yang paling vokal beri arahan. Paling banyak cakap apa dia nak. Yang orang semua kena dengar cakap dia. Kena takut. Paling penting, sampai kau kena fikirkan meja makan dia mesti dihias. Banner mesti ada muka dia.

Bila dah duduk situ, rupanya ketua ialah orang yang paling banyak tanggung. Sama ada baik atau buruk. Berjaya atau tak, kau kan ketua sekolah. Kepala. Kaulah kena tanggung. Apsal cikgu kau pulak? Itulah doktrin yang aku pegang.

Aku ketua. Aku kena bertanggungjawab. Ramai je orang nak autoriti. Tak ramai yang nak akauntabiliti.

Kalau program berjaya, ramai yang diraikan. Kalau program gagal, kau jawab. Kalau staf cemerlang, mereka dipuji. Kalau staf bermasalah, kau jawab. Ingat, bukan kau suruh, kau arah semata-mata. Kau kena meneraju, Kau kena dorong, kau kena bimbing.

Itulah harga sebuah kerusi. Haaaa.. Huhu.. Ayat, sastera sungguh.

Orang nampak kuasa je. Dia tak rasa tu beban. Alaaaa, kerja kau sign. Itu yang orang sangka. Tapi orang tak nampak malam-malam yang kau duk fikir keputusan yang perlu dibuat. Orang tak nampak kau jawab whats app tengah malam, awal pagi.

Jadi ketua ni, terpaksa jadi orang yang paling tak disukai. Bukan apa, supaya organisasi tak rosak untuk jangka masa panjang. Dahlah 'circle' kau makin kecil, ramai pula orang jauhkan diri. Orang takut nak dekat. Aku boleh je minum dengan staf aku, tapi dah taklah nak jadi kengkawan. Aku tak kisah, diaorang lah yang 'suspicious'..

Kadang-kadang ketua terpaksa memarahi orang yang dia sayang. Ada masa, ketua terpaksa tolak permintaan orang yang dia hormati. Selalu je ketua terpaksa berdiam walaupun dia tahu je siapa buat cerita. Bawa cerita. Jaja cerita. Report sana sini.

Tak melawan tu bukan takut. Bukan lemah. Malas sebenarnya nak ikut emosi. Dah berusia. Aku percaya, bila kau buat yang betul, lambat laun semua benda tu, orang tau. Allah ada. Tak semua perang kita kena menang.

Dah 10 tahun jadi ketua sekolah. Aku sedar bahawa ketua bukanlah orang yang berada dekat depan sekali. Kita kena duduk paling belakang sekali bila semuanya selesai. Kita kena pastikan semua orang selamat pulang sebelum kita balik.

Ada je aku tengok ketua tu macam raja. Datang paling lambat. Arah sana sini. Tanya itu ini. Ubah macam-macam hari majlis, lepas tu balik paling awal. Dahlah kau tak ambik tau. Orang dah buat kau sibuk kacau. Lepas tu kau biar semua. Macam rajakan?


Aku tak naklah jadi gitu, macam tak sedar diri pulak. Lagilah orang tak suka. Bila rasa dah tua ni, aku sedar, jawatan itu sebenarnya pinjaman. Kerusi empuk itu juga pinjaman. Akhirnya, ia bukanl tentang berapa lama kita duduk. Tetapi berapa ramai manusia yang menjadi lebih baik kerana pernah bekerja bersama kita.

Aku pernah buat puisi tentang ni. Dah terbit dalam Tarian Tinta 2, terbitan AID Conferences, 2022 dulu. Tajuk dia Sketsa Hujan.



SKETSA HUJAN
 
Bilah-bilah air hujan kali ini
berdialog tentang bingkai kehidupan.
 
Kala titisnya terjun ke bumi
tanah seraya bertanya;
“bukankah kau yang merajai langit?
Yang gagah dan megah menutup cerah?”
 
Rupa-rupanya
di atas sana bukanlah satu destinasi
bukanlah abadi.
 
Selang ketika
cerah itu kembali.

Hishhh.. Belum habis lagi. Kau kena tahu juga, harga yang keluarga kau kena bayar. Semua nampak kau penat kat sekolah. Balik petang. Orang tak nampak yang isteri kau ada sikit je masa dengan kau. Anak-anak kau. Hujung minggu tak da masa. Cuti pun jangan cerita, kompem tak da.

Sekarang ni aku dah nampak apa aku pernah buat. Ye lah, aku bukan malaikat. Aku tak sempurna. Pernah je marah orang depan orang ramai. Aku ingat semua benda kena ikut aku. Pernah gak mikir aku je yang betul. Sebenarnya, orang diam bukan aku betul, tapi diaorang penat nak cakap.

Masa muda, aku fikir ketua tu orang paling kuat. Hebat. Best jadi ketua. Sekarang aku sedar, kita paling banyak memikul. Aku tak mintak banyak, tak harap pun orang ingat jawatan aku. Aku cuma harap dia orang ingat, aku pernah ada, masa dia orang perlu seseorang.

So, kau rasa, best ke jadi ketua? Jadi guru besar?















Post lain