Ketandusan Pemimpin Pelapis Berwibawa Di Sekolah Rendah?

Penafian : Artikel ini tidak bersandar kepada mana-mana data. Artikel ini bukan kajian ilmiah. Ia adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pengalaman, perkongsian bersama rakan-rakan dalam banyak daerah dan negeri. Diharapkan, akan ada kajian ilmiah yang boleh dilaksanakan untuk meninjau sejauh mana kebenarannya. Artikel ini ditulis kerana pada pandangan penulis terdapat segelintir pemimpin pelapis yang tidak berfungsi seperti sepatutnya.


PENGENALAN

Masihkah kita ingat satu ketika, tular dalam dunia pendidikan apabila sekumpulan guru menaikkan gegantung meminta pengetua ditukarkan di sebuah sekolah di Pantai Timur? Kemudian terjadi sekali lagi kepada seorang Guru Penolong Kanan Kokurikulum sebuah sekolah rendah dan Pengetua di sebuah sekolah di Lembah Klang.

Ia terjadi akibat ketidakpuasan hati segelintir guru terhadap barisan pentadbir yang akhirnya membawa akibat memalukan terhadap institusi pendidikan rendah dan menengah. Siapa sebenarnya yang bersalah dalam hal ini? Guru-guru dan warga sekolah atau barisan pentadbirnya?

Saya tiada jawapannya, kerana saya bukanlah hakim yang mengadili sebuah perbicaraan. Namun, dalam penulisan kali ini, saya akan menulis berdasarkan pandangan dan pengalaman saya sebagai ketua jabatan Saya terpanggil untuk berkongsi beberapa pandangan hasil perbincangan tidak rasmi, perbualan, perkongsian dan juga pemerhatian.

Adakah kita sebenarnya ketandusan pemimpin pelapis berwibawa di sekolah rendah? Tajuk ini sangat sesuai untuk saya kupas berdasarkan kedudukan saya sekarang. Jika benar kita ketandusan, apakah buktinya?

Seperti yang saya katakan tadi, saya tiada data dan tiada sebarang kajian ilmiah untuk diketengahkan. Jadi, saya cuma menggariskan tiga aspek penting yang boleh menyumbang kepada berlakunya keadaan itu. Jika kita tidak ketandusan sekalipun, ini adalah senario yang sebenarnya ada berlaku dalam kalangan pemimpin pelapis di sekolah rendah.

Saya mengenal pasti tiga aspek utama tentang ketandusan pemimpin pelapis yang berwibawa dengan senario yang berbeza-beza seperti berikut;

    1.    Calon pemimpin pelapis

    2.    Peranan pentadbir

    3.    Kaedah pemilihan


1. CALON PEMIMPIN PELAPIS

 

1.1     Calon berkelayakan yang tidak berminat

       Ada ramai sebenarnya guru-guru yang berkelayakan untuk menjadi pemimpin. Mereka ini secara tidak langsung telah membantu mengurus dan mentadbir sekolah mengikut bidang masing-masing. Ramai ahli pasukan pemimpin pertengahan di sekolah telah mempunyai kemahiran dan seni mentadbir, tetapi mereka tidak berminat untuk menjadi pemimpin pelapis sekolah.

Lihat sahaja rakan-rakan guru penolong kanan lantikan sekolah di sekolah kurang murid (SKM). Ramai antara mereka yang sangat berkebolehan. Mengajar dengan waktu yang banyak dan mengurus bidang masing-masing. Tugas dan tanggungjawab yang sama. Tetapi, tetap tidak berminat untuk memohon.

Mengapa perkara ini berlaku? Sebahagian besar guru ini telah sangat selesa dengan apa yang mereka lakukan di sekolah. Ada yang mendapat sokongan kuat pentadbir dan juga pemegang taruh sekolah. Ada yang seronok bekerja sehingga tidak mahu mengambil risiko berpindah.

Ada juga yang telah terlalu berusia sehingga malas untuk memikirkan tanggungjawab baru. Selain itu, ada juga yang takut untuk memimpin disamping kurang keyakinan berbuat demikian. Tidak kurang juga yang memberikan alasan peribadi seperti pengurusan anak dan keluarga dan sebagainya.


1.2    Calon yang berminat tidak berkelayakan

       Ada juga yang tidak berkelayakan, tetapi sangat inginkan jawatan sebagai pemimpin pelapis. Ada yang memohon menjadi guru penolong kanan, semata-mata masa mengajar sebagai GPK adalah sedikit. Ada juga yang memohon kerana tidak mahu terlibat dalam kerja-kerja sebagai guru yang terlibat aktif dengan PDPC murid dan panitia.

Selain itu, mereka yang memohon dan menawarkan diri sebagai GPK ada antaranya kerana mahukan kuasa dan pangkat. Tiada motivasi dalam kerja sebagai seorang guru yang membimbing murid. Pandai bercakap tetapi kurang mahir membuat kerja. Mereka sangka kerja sebagai GPK hanyalah mengarah dan mengatur.

Akhirnya, semua arahan daripada guru besar, diarahkan pula kepada guru. Arahan-arahan daripada PPD/JPN/KPM hanyalah dipanjangkan kepada guru-guru atau setiausaha masing-masing. Jangan sebut tentang bimbingan dan pementoran, ada masanya arahan-arahan itu disampaikan bulat-bulat kepada orang bawahannya.


1.3   Persepsi negatif terhadap jawatan pemimpin

        Ramai guru menganggap bahawa pentadbir dan barisan kepimpinan sekolah itu satu bebanan. Persepsi mereka terhadap barisan kepimpinan sangat teruk. Mereka beranggapan, pentadbir hanya memberi arahan, mencari kesalahan, dan tidak bertindak adil.

Di media sosial, sentiasa kita lihat luahan guru-guru terhadap pentadbir sekolah. Akhirnya, guru-guru yang membaca luahan tersebut turut berfikiran sama. Ini menyebabkan mereka memberikan satu persepsi yang negatif terhadap pentadbiran sekolah dan tidak memotivasikan mereka untuk memohon jawatan tersebut.


1.4   Tidak bersedia dan kurang pengetahuan

        Ramai rakan-rakan guru yang memohon jawatan sebenarnya belum lagi bersedia untuk mentadbir dan memimpin. Ada yang hanya menjadi Jurulatih Utama mata pelajaran, dan memohon untuk menjadi pentadbir. Ada yang baru saja dilantik setiausaha sukan, terus sahaja memohon jawatan. Ini sekadar contoh.

Apa yang berlaku selepas itu? Mereka gagal untuk menangani masalah pengurusan dan pengoperasian bahagian masing-masing, dek kerana kekurangan pengetahuan dan juga pengalaman. 

Sudahlah begitu, tiada usaha untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang masing-masing. Hanya mengharapkan bantuan  setiausaha masing-masing yang jauh lebih berpengetahuan.

Institut Aminudin Baki sentiasa menyediakan kursus-kursus pembangunan profesional berterusan (CPD) untuk pentadbir sekolah mengikut bidang masing-masing. Kalau tidak berkursus sekalipun, banyakkan membaca bidang masing-masing. Cari SPI-SPI, cari manual dan panduan. Kemudian bertanya kepada mereka yang lebih arif.

Saya rasa ada juga yang terkeliru. Jika anda seorang guru yang akademi, tanpa pernah mengurus sukan sekolah, majlis sekolah, bawa murid sukan dan mengurus mereka, lebih baik mohon satu lagi cabang kerjaya iaitu guru cemerlang.


2.  PERANAN PENTADBIR


2.1    Kurang dorongan dan motivasi

        Pentadbir sebenarnya memainkan peranan yang sangat besar dalam menghasilkan barisan pemimpin pelapis yang berwibawa. Mereka perlu memberi dorongan kepada guru-guru berkelayakan dan berpotensi untuk menjadi pemimpin pelapis berwibawa.

Ianya bukanlah kerja sehari atau seminggu. Atau ketika borang permohonan dikeluarkan. Ianya adalah usaha berterusan mengikut standard 1 SKPMg2. Membimbing dan mendorong. Bakal-bakal pemimpin boleh dicungkil dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, kemudian dibimbing dan dipantau.

Di dalam PBPPP untuk guru, dimensi paling besar markahnya ialah dimensi fungsional. Tetapi untuk melihat wibawa seorang bakal pemimpin, para pentadbir boleh melihat kepada dimensi generik dan keberhasilan. Dimensi-dimensi ini akan melengkapkan lagi seorang guru untuk menjadi pemimpin pelapis yang berwibawa.


2.2    Simpan guru terbaik

        Ada juga di mana ramai pentadbir yang tidak mahu kehilangan guru terbaik mereka. Guru-guru ini biasanya guru yang memberikan khidmat cemerlang kepada sekolah. Tidak cakap banyak, menurut arahan, kerja lebih masa dan sentiasa memberikan hasil kerja yang terbaik.

Kehilangan guru-guru ini akan memberikan beban kepada sekolah yang sangat berharap kepada mereka. Akibatnya pentadbir sukar melepaskan guru-guru ini. Ianya samaada iklan permohonan tidak diwar-warkan ataupun tidak memberikan sokongan atau dorongan untuk guru tersebut memohon jawatan tersebut.


2.3     Sokongan semberono

        Ada juga pentadbir yang menyokong secara semberono semua permohonan guru mereka. Memang benar, pemimpin yang baik melahirkan ramai pemimpin. Jangan kerana pendapat dan pandangan itu, pentadbir menyokong semua permohonan guru.

Ada ketika, guru-guru yang belum berkelayakan atau belum bersedia untuk menjadi pemimpin ini, diberikan penerangan dan taklimat. Diberikan rasional dan justifikasi mengapa perlu tangguh permohonan. Berikan tugasan dan juga bimbingan untuk mencungkil potensi kepimpinan mereka.

Jangan hanya kerana kisah sedih, atau pun semangat mereka yang kuat, pentadbir menyokong permohonan mereka tanpa melihat kelayakn sebenar. Apabila diterima menjawat jawatan, mereka tidak dapat bekerja dengan baik. Mereka tidak dapat menjadi seperti yang sepatutnya.

Akhirnya mereka hanyalah bahan ketawa kepada guru biasa di sekolah. Mereka jadi bahan cerita di kantin dan bilik guru. Mereka jadi bahan bualan di PPD dan di sekolah-sekolah lain. Yang pasti, orang akan bertanya, siapa yang menyokong permohonan mereka? 


3. KAEDAH PEMILIHAN


3.1    Panel penemuduga

        Kita ingin melantik pentadbir sekolah. Pemimpin pelapis. Dalam hal ini, panel penemuduga adalah sangat penting. Ia tidak boleh diberikan kepada sebarangan orang. Pandangan pemimpin adalah sangat berbeza dengan pengurus. Maka calon penemuduga perlulah diberikan kepada mereka yang layak. Siapa agaknya yang layak menemuduga calon-calon ini. 

School Improvement Partner + (SIP+). SIP+ adalah mereka yang dilantik dalam kalangan pengetua. Tugas mereka pula ialah membantu pengetua guru besar dalam mengurus dan mentadbir sekolah. Memberikan pandangan, idea, berkongsi amalan baik dan lain-lain. Sudah tentu, SIP+ adalah calon paling layak, kerana mereka adalah orang yang pernah berada dalam pengurusan sekolah dan masih lagi bersama pemimpin sekolah.

Pengetua Guru Besar Cemerlang, Majlis Guru Besar (MGB), dan Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM). Mereka ini juga sangat layak untuk menemuduga calon-calon pemimpin pelapis. Kita harus sedar, pemimpin pelapis ini akan berkhidmat bersama-sama dengan pengetua guru besar. Jadi merekalah orang paling layak menilai dan menemuduga calon-calon pemimpin pelapis. Mereka sangat tahu, apa yang berlaku di sekolah. Dan mereka juga tahu, apakah kriteria, nilai, dan keperluan yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin pelapis.

Wakil PPD samaada PPD sendiri atau barisan timbalan. Sudah tentu, kita perlukan pucuk pimpinan PPD sesebuah daerah untuk turut serta sebagai panel penemuduga. Mereka sangat arif dalam menentukan keperluan pemimpin pelapis di dalam sesebuah daerah. Mereka kenal semua sekolah dalam daerah mereka, dan mereka tahu, pemimpin bagaimana yang mereka perlukan. Jika tidak sebagai panel penemuduga, mereka boleh menjadi pemantau proses penemuduga dan terlibat dalam panel pemilihan.


3.2    Soalan temuduga

        Satu ketika dahulu, soalan-soalan dalam temuduga penjawat awam mesti ditanya tentang menteri. Ketika itu, kita mesti tahu tentang menteri dan juga isu semasa. Jadi, pemilihan lebih kepada mereka yang tahu nama menteri dan mengetahui hal ehwal semasa. 

Saya kurang bersetuju, untuk bertanya tentang soalan isu semasa dalam usaha melantik seorang pemimpin pelapis. Mengapa saya tidak bersetuju? 

Ini kerana, dalam PBPPP seorang pemimpin pelapis akan dinilai menggunakan instrumen 'Pengajaran dan Pentadbiran (PTA)'. Mereka tidak lagi dinilai sebagai 'Guru Akademik (PDP Guru)'. Apabila mereka dinilai sebagai seorang pentadbir, instrumen mereka akan berubah. Dimensi fungsional mereka juga akan berubah. 60% markah mereka untuk dimensi fungsional telah berubah sama sekali.

Jadi soalan-soalan untuk mereka semasa ditemuduga juga perlu diubah. Ada kalangan pekerja swasta dan makcik kantin boleh menjawab soalan tentang aspirasi murid, tentang PAK21, tentang i-Think. Mengapa begitu? Kerana, setiap hari mereka nampak gegantung tentang PAK21, tentang i-Think, tentang PPPM. Jadi semua guru, seharusnya memang sudah tahu tentang dasar-dasar dan juga perkembangan semasa pendidikan.

Cuba kita tanya calon-calon kita tentang apa yang bakal mereka hadapi. Contohnya, cikgu nak jadi pemimpin yang bagaimana? Apa persediaan cikgu untuk menjadi GPK? Apa program yang cikgu buat di sekolah? Apa peranan cikgu di sekolah? Bagaimana cikgu mengelola program? 

Saya juga sangat suka jika bakal-bakal pemimpin ini diberikan satu masalah atau situasi dan minta mereka berikan pandangan. Contohnya, Ada seorang guru yang tidak mahu beri kerjasama dalam program di sekolah dengan pelbagai alasan. Apa tindakan cikgu untuk pastikan beliau turut serta.

Ataupun, ada 3 elemen di bawah dimensi fungsional dalam PBPPP seorang PTA, iaitu Kepimpinan Instruksional (5 aspek), Pengurusan (5 aspek), dan Kepimpinan (2 aspek). Panel penemuduga bolehlah bertanya mana-mana soalan mengikut 3 elemen tersebut.


   PENUTUP

Kita telah pun memasuki gelombang ketiga PPPM 2013-2025. Anjakan kelima dalam PPPM adalah memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan disetiap sekolah telah pun dilaksanakan dengan mewajibkan kepimpinan sekolah mengikuti kursus NPQEL.










Post lain